Banjir jejas hari terakhir misi kemanusiaan Yaman

SEIYUN, YAMAN: Sejak tiba di Yaman pada 22 Mac lalu, sukarelawan Aman Palestin melaksanakan misi kemanusiaan sempena Ramadan di dalam cuaca panas dan kering, dengan suhu mencecah 35 darjah Celsius.

Namun, situasi berbeza di hari terakhir pada hari keenam Ramadan semalam, yang juga hari terakhir misi kemanusiaan, apabila hujan lebat membasahi beberapa kawasan di bumi Yaman, termasuk Seiyun.

Hujan lebat di Seiyun bermula kira-kira jam 4.45 pagi dan berterusan selama hampir dua jam di wilayah yang dikelilingi padang pasir dan bukit-bukau itu.



Pada awalnya, kami menyangka hujan bakal memudahkan hari terakhir misi kerana pastinya lebih mudah berpuasa dalam cuaca hujan dan mendung, berbanding di bawah terik matahari seperti beberapa hari sebelumnya.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila hujan selama hampir dua jam itu menyebabkan beberapa lokasi di Seiyun dilanda banjir.

Kami menyedari perkara itu apabila dimaklumkan mengenainya oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Human Access, yang menemani kami sepanjang berada di Yaman sejak minggu lalu.

Banjir menyebabkan perancangan pada hari terakhir misi kemanusiaan Aman Palestin terjejas, kerana ada laluan terputus hubungan akibat bencana berkenaan.



Mengikut perancangan asal, wartawan bersama sukarelawan Aman Palestin dijadualkan menuju ke Althirb di Seiyun untuk menyantuni 400 fakir miskin di kawasan itu, serta mengagihkan bantuan bakul Ramadan kepada mereka.

Bagaimanapun, laluan menuju ke Althirb dari bandar Seiyun, di mana kami menetap, dinaiki air dan tiada kenderaan boleh melaluinya.

“Ini antara cabaran yang dihadapi dalam misi kemanusiaan di Yaman. Hujan lebat selama satu jam lebih sudah cukup untuk menyebabkan banjir,” kata Pengurus Hubungan Luar dan Projek Human Access, Yasir Abdul Latif Muhammad.



“Ia jarang berlaku tapi apabila banjir, laluan utama terputus dan akhirnya bantuan tidak dapat dihantar kepada pelarian atau fakir miskin.”

Seorang lagi wakil Human Access, Salim Muhammad Hasan, yang juga penduduk tempatan Seiyun, cuba mencari laluan lain untuk membawa kami ke Althirb, namun gagal.

“Kita terpaksa ubah rancangan,” kata Salim, sebelum kami terpaksa membatalkan perancangan ke Althirb dan berehat sebentar di pejabat Human Access di bandar Seiyun.

Meskipun dibatalkan, bantuan bakul Ramadan merangkumi beras, gandum, gula, minyak masak, buah kurma dan kacang peas kepada 400 fakir miskin akan tetap diagihkan dengan bantuan Human Access pada hari lain tanpa kehadiran sukarelawan Aman Palestin.



Selepas dua jam, kami kembali menaiki kenderaan pacuan empat roda berjenama Toyota berwarna putih dan menuju ke kem Thirba al-Mugatu’ di bandar Tarim untuk berbuka puasa bersama kira-kira 400 fakir miskin.

Bagaimanapun, misi itu juga terganggu apabila Salim dimaklumkan bahawa laluan menuju ke kem Thirba al-Mugatu’ turut dinaiki air.

Selepas perbincangan, kami memutuskan untuk mengubah majlis berbuka puasa bersama fakir miskin itu ke Masjid Al Ghufran, juga di bandar Tarim, namun terletak kira-kira 115 kilometer daripada kem Thirba al-Mugatu’.

Tetapi, kami sekali lagi berdepan cabaran apabila laluan yang digunakan untuk menuju ke Masjid Al Ghufran turut dinaiki air.



Banjir itu dilihat datang dari kawasan yang asalnya hanya berpasir dan memiliki beberapa batang pokok kurma, namun berubah menjadi seperti sungai hingga melimpah di atas jalan menuju ke bandar Tarim dari bandar Seiyun.

Ramai penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk melihat banjir di negara bergolak itu, yang sinonim dengan cuaca panas, dengan kanak-kanak mengambil peluang bermain dan mandi dalam air banjir berkenaan.

“Laluan ini memang kerap banjir jika hujan lebat lebih satu jam,” kata penduduk tempatan, Salim Ahmad.



Salim, 55, menaiki motosikal bersama anaknya, Ismail untuk menuju ke bandar Tarim, sebelum terpaksa berhenti bersama puluhan lagi kenderaan untuk menunggu banjir surut.

“Hujan biasanya hanya berlaku sekali dalam sebulan atau dua bulan di sini. Namun, hujan sekali itu memang selalunya amat lebat dan menyebabkan banjir,” katanya.

Selepas beberapa ketika, banjir mulai surut dan kenderaan yang menunggu mulai menyeberangi jalan, namun kami terpaksa membatalkan rancangan kerana waktu berbuka puasa sudah hampir.

Kami berpatah balik ke bandar Seiyun, sekali gus menandakan berakhirnya misi kemanusiaan Aman Palestin di bumi Yaman sempena Ramadan kali ini.

Meskipun perancangan hari terakhir tidak berjalan mengikut jadual, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Mohd Farhan Mohd Fadhil tetap berpuas hati kerana misi selama hampir 10 hari itu tetap mencapai matlamat.

Sepanjang tempoh itu, lebih 10,000 pelarian dan fakir miskin di Ma’rin dan Hadramawt menerima pelbagai bantuan daripada Aman Palestin hasil sumbangan orang ramai, sama ada dalam bentuk bakul Ramadan, pakaian Aidilfitri dan juadah berbuka puasa.

“Misi kali ini juga membantu kami merancang projek bantuan akan datang di bumi Yaman, antaranya membina rumah kontena, surau, perigi dan sekolah di kem pelarian Aman Palestin, selain memperluaskan sebuah sekolah menengah berhampiran kem AlJufainah di bandar Ma’rib,” katanya.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading