Guna wang hasil samun beli ‘cover set’ motosikal

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas melarikan rantai emas dianggarkan bernilai RM3,000 milik seorang pemandu peribadi di Jalan Tasek Tambahan 1, Ampang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika mangsa berusia 54 tahun memandu kereta bersendirian.

“Suspek yang menunggang motosikal sengaja menghimpit kereta mangsa sebelum menumbuk cermin sebelah pemandu menyebabkan mangsa menurunkan cermin kerana khuatir ia dipecahkan suspek.



“Sebaik cermin kereta diturunkan suspek terus meludah ke arah mangsa dan menarik kolar baju serta rantai emas dipakai mangsa sebelum melarikan diri. Kerugian dianggarkan RM3,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan suspek berusia 30 tahun berjaya ditahan di kediamannya di Tasek Permai, Ampang, kira-kira jam 9.45 malam hari sama.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Pihak polis turut merampas pakaian, topi keledar, dokumen resit pajak gadai, seutas rantai emas, alat kawalan jauh motosikal dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan semasa kejadian.



“Siasatan mendapati suspek sudah pun menjual rantai emas milik mangsa di sebuah kedai pajak dalam daerah Ampang dan wangnya digunakan untuk membeli aksesori ‘cover set’ untuk motosikalnya,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun keseksaan iaitu melakukan kesalahan rompak atau samun.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dengan denda atau sebatan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button