Tubuh syarikat simpan wang suap

Putrajaya: Tubuh syarikat perniagaan antaranya bagi tujuan melakukan transaksi wang rasuah diberikan sindiket penyeludupan pendatang haram tanpa izin (Pati).

Itu tindakan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT), Sabah yang ditahan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu.

Sumber berkata, risikan pegawai SPRM mendapati suspek menggunakan akaun bank syarikat itu bagi mengaburi aktiviti transaksi wang haram diperolehi.



“Berdasarkan risikan mendapati suspek lelaki terbabit menggunakan tiga akaun bank bagi tujuan itu. Ia membabitkan akaun bank syarikat berkenaan, akaun simpanan peribadi miliknya serta akaun bank milik individu yang dilantik sebagai proksi.

“Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai orang tengah antara sindiket dan pegawai JIM bertugas di kaunter LTT,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati duit rasuah berkenaan digunakan bagi tujuan memenuhi gaya hidup.

Sementara itu 10 individu termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan SPRM berhubung sindiket penyeludupan pendatang haram Filipina ke Semenanjung Malaysia melalui Lapangan Terbang Tawau (LTT) dibebaskan semalam.



Majistret Dzul Elmy Yunus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat SPRM, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishak untuk tidak melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap semua suspek.

Wan Iqmal dalam permohonannya berkata, Bahagian Siasatan SPRM sudah melengkapkan siasatan dan memohon pembebasan ke atas semua suspek mengikut Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009 bagi memastikan kehadiran mereka di mahkamah sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun jumlah wang jaminan ke atas kesemua suspek akan ditentukan kemudian oleh pihak SPRM.

Jumaat lalu, lima pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dan empat orang awam disyaki sebagai dalang sindiket direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar Pati melalui lapangan terbang.



Manakala seorang lagi pegawai lelaki JIM, berumur 30 tahun turut direman selama enam hari bermula kelmarin sehingga 3 April ini, kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati yang sedang disiasat SPRM.

Sindiket sebelum ini dikesan menyewa MyKad rakyat tempatan untuk dibekalkan kepada Pati yang mahu menaiki pesawat komersil ke Semenanjung Malaysia.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button