Leonardo DiCaprio beri keterangan di mahkamah dalam kes 1MDB

WASHINGTON: Pelakon terkemuka, Leonardo DiCaprio berada di Washington semalam untuk memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah ahli politik, membabitkan seorang bintang hip-hop 90-an dan ahli kewangan warga Malaysia dalam buruan.

Pras Michel yang juga anggota kumpulan muzik The Fugees, didakwa membantu menyalurkan wang secara rahsia daripada Low Taek Jho atau Jho Low, bertujuan mempengaruhi ahli politik Amerika Syarikat (AS).

DiCaprio menarik perhatian mahkamah, selepas mendedahkan mengenai parti mewah dianjurkan Jho Low, yang didakwa dibuat menggunakan wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Bintang filem Titanic berusia 48 tahun itu mendedahkan bahawa Jho Low menganjurkan sejumlah parti mewah membabitkan pelbagai individu dari seluruh dunia di atas bot dan kelab malam, serta kerap kali membabitkan kehadiran selebriti, termasuklah Michel.

Menurut DiCaprio, pertemuan pertamanya dengan Jho Low adalah sekitar 2010 di sebuah parti di Las Vegas, namun pelakon itu mengakui tidak begitu mengingati perincian pada hari berkenaan.

Sejak itu, katanya, Jho Low kerap menjemputnya menghadiri beberapa parti, termasuk sambutan Malam Tahun Baharu di AS, yang turut membabitkan kehadiran individu dari Australia yang diterbangkan menggunakan pesawat peribadi.

“Saya difahamkan dia adalah ahli perniagaan terkemuka dan memiliki banyak hubungan di Abu Dhabi, Malaysia… prodigi dalam dunia perniagaan dan amat berjaya,” katanya.



Selepas Jho Low menyatakan minat untuk mendanai filem The Wolf of Wall Street dibintangi DiCaprio pada 2013, peguam pelakon itu serta seorang detektif menyiasat ahli kewangan Malaysia itu, sebelum bersetuju dengan perkara berkenaan.

“Saya diberi lampu hijau oleh pasukan saya serta pihak studio untuk menerima dana Jho Low.

“Ini bermakna siasatan latar belakangnya berjalan baik dan dia dilihat sebagai seorang ahli perniagaan yang sah,” katanya.

DiCaprio turut pernah menerima hadiah daripada Jho Low, khusus untuk yayasan alam sekitar milik pelakon itu.



Namun, katanya, beliau memutuskan hubungan dengan Jho Low pada 2015 selepas keraguan timbul berhubung kaitannya dengan kehilangan wang berbilion dolar daripada akaun 1MDB.

Jho Low yang dikatakan melarikan diri ke China dan masih bebas, didakwa menggunakan dana 1MDB untuk berbelanja secara mewah, melabur dalam filem DiCaprio, dan berhubungan dengan individu kaya, terkenal dan berpengaruh dalam politik.

DiCaprio turut mendedahkan, Jho Low pernah memberitahunya secara sambil lalu, bahawa beliau akan memberi sumbangan yang signifikan kepada Parti Demokratik berjumlah sekitar AS$20 ke AS$30 juta (RM132 juta).

Michel pula didakwa menyalurkan wang itu secara rahsia daripada Jho Low kepada kempen pilihan raya bekas Presiden AS, Barack Obama pada 2012 menerusi syarikat palsu.



Mengikut undang-undang AS, sumbangan dana untuk kempen politik daripada warga asing adalah satu kesalahan.

Michel turut didakwa bersetuju terbabit dalam usaha melobi pada 2017 bagi membantu kerajaan China membawa pulang jutawan Guo Wengui yang berada di AS, selain cuba mempengaruhi pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump untuk menangguhkan siasatan ke atas Jho Low.

Michel, 50, mengaku tidak bersalah.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button