Samun peniaga bazar Ramadan, lima lelaki ditahan

Kulai: Polis menahan lima individu berhubung kes samun dalam empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia 18 hingga 47 tahun dibuat antara jam 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam, selepas menerima aduan daripada lelaki warga tempatan berumur 41 tahun semalam.

Katanya, peniaga bazar itu memberitahu dia didatangi suspek pada jam 10.45 malam kelmarin, semasa dia berniaga bersama tiga rakan di tapak berniaga bazar Ramadan, Jalan Merbau di Bandar Putra.



“Suspek dan rakannya berbincang mengenai perniagaan mercun di tapak bazar.

“Secara tiba-tiba salah seorang daripada suspek yang tidak dikenali bertindak menendang pengadu di dada hingga terjatuh.

“Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa orang semasa hendak menyelamatkan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beng Yeow berkata, akibat kejadian itu pengadu mengalami kecederaan di kepala, muka, tangan dan badan.



Katanya, pengadu menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

“Pengadu juga mengalami kehilangan wang berjumlah RM5,405 yang dipercayai dirampas oleh suspek semasa kejadian itu.

“Polis berjaya menyelesaikan kes tidak sampai 24 jam laporan dibuat. Sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.

“Hasil siasatan awal, kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Motif kejadian dipercayai perselisihan faham.



“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas. Hasil semakan kesemua lima suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 9 April depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading