‘Saya tak pernah lihat, tahu kewujudan surat itu’ – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak pernah melihat surat dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Hakim, Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Bekas Perdana Menteri berkata, kali pertama beliau melihat surat itu adalah di media seperti yang digembar-gemburkan oleh orang awam.

Malah, sepanjang beliau menerajui kerajaan, salinan surat dan laporan kesalahan itu juga tidak pernah diterimanya, sekali gus menegaskan tidak mengetahui kandungan sebenar surat itu.



“Surat SPRM? Tidak (tidak mengetahui kewujudan surat itu sepanjang menjadi Perdana Menteri)… saya tidak tahu, saya hanya baca di media sahaja.

“Saya pun tak jelas surat itu mengenai apa. Perincian surat itu pun saya tidak tahu,” katanya selepas menziarahi dan menyantuni anak-anak yatim di Rumah Amal Asnaf Al- Barakh di Taman Zoo View di sini hari ini.

Semalam BH melaporkan, laporan berhubung pelanggaran kod etika hakim membabitkan Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Ketua Tengku Maimun pada Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dikemukakan dalam Laporan SPRM.



Katanya, laporan bertarikh 21 Februari lalu, mendapati Hakim Mahkamah Rayuan itu melanggari peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 dengan dokumen berkenaan turut dikemukakan kepada Tengku Maimun pada hari sama.

Media baru-baru ini, melaporkan salinan surat didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun, tular di media sosial.

Surat berkenan tular beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat semakan ke atas sabitan dan hukuman dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Pada 24 Februari lalu, media melaporkan, panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun, berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.



Tengku Maimun dalam penghakimannya, berkata agensi penyiasat seperti SPRM perlu berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC serta memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipenjara selama 12 tahun serta didenda RM210 juta.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading