Bangunan runtuh di Perancis: 8 dikhuatiri terperangkap

PARIS: Lapan orang dikhuatiri terperangkap bawah runtuhan selepas dua bangunan kediaman runtuh akibat letupan di bandar Marseille, selatan Perancis, kata pegawai tempatan.

Punca letupan itu masih belum diketahui, kata pendakwa raya Marseille, Dominique Laurens.

“Runtuhan itu menyebabkan berlaku kebakaran yang merumitkan usaha menyelamat dan siasatan serta tidak dapat dikawal,” katanya pada sidang media.



Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap naik daripada runtuhan itu ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran, manakala anjing pengesan turut digunakan untuk mengesan mangsa.

“Kami tidak mempunyai apa-apa, malah kad pengenalan pun. Kami kehilangan segala-galanya,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Roland, dalam wawancara dengan akhbar tempatan La Provence.

Dia berjaya keluar daripada bangunan di 15 Rue de Tivoli bersama isteri dan dua anaknya sebelum ia runtuh bersama sebuah lagi bangunan jiran. Bangunan ketiga sebahagiannya juga runtuh.

Lima mangsa sudah dibawa ke hospital apabila mengalami kecederaan serius.



Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, yang melawat tapak itu, berkata semua penduduk di 30 bangunan di kawasan itu sudah dipindahkan.

Pada 2018, tiga bangunan yang dianggap tidak sesuai untuk didiami runtuh berhampiran kawasan berkenaan dan mengorbankan lapan orang.

Datuk Bandar Marseille berkata, bangunan yang runtuh semalam itu tidak diketahui mempunyai sebarang masalah struktur.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button