2 OKT warga Indonesia lolos ketika dibawa ke penjara

KULAI: Polis sedang giat mengesan dua Orang Kena Tahan (OKT) warga Indonesia yang meloloskan diri ketika dalam perjalanan dibawa dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Tangkak, hari ini.

Kedua-dua suspek itu dikenali sebagai Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata insiden berlaku kira-kira jam 11.20 pagi tadi di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, berhampiran Jambatan Kerata Api, di sini.



Beliau memaklumkan terdahulu pada jam 8 pagi, empat OKT warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi sebelum dituduh mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan hukuman penjara enam bulan.

“Kesemua OKT itu ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayasia (Maritim Malaysia) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia.

“Kira-kira jam 11.20 pagi, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa empat OKT dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.

“Ketika dalam perjalanan, dua OKT berusia 36 dan 40 tahun berjaya membuka gari berantai dan pintu belakang van, kemudian melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran jalan raya di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.



Susulan itu, Beng Yeow berkata, Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, kini giat membantu mengesan kedua-dua suspek di sekitar lokasi kejadian.

“Op Tutup telah dilancar membabitkan anggota Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, bagi mengesan serta menangkap kedua-dua suspek itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. Pihak polis meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek, supaya menghubungi bilik gerakan daerah Kulai melalui talian 07- 6637222,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video pendek berdurasi 26 saat memaparkan beberapa anggota polis berada di tepi Jalan Sengkang, dipercayai sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button