Nombor plat berharga RM66 juta

Dubai: Nombor plat kereta paling mahal di dunia dipercayai dijual pada harga 55 juta dirham (kira-kira RM66 juta) dalam acara lelongan amal di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Portal Business Insider melaporkan, plat itu hanya mempunyai satu huruf dan satu digit, iaitu P7.

Emirates Auction, yang melelong nombor plat itu dalam satu acara di sini berkata, ia adalah rekod baharu.



Syarikat itu berkata, hasil jualan itu akan disalurkan kepada badan amal bantuan makanan yang diketuai oleh Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid.

Rumah lelongan itu memberitahu Business Insider bahawa pembeli plat itu tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum.

Menurut Rekod Dunia Guinness (GWR), nombor plat kereta paling mahal yang dijual sebelum ini mempunyai hanya satu nombor iaitu ‘1’.

Ia dibeli pada harga 52.2 juta dirham (kira-kira RM62.6 juta) oleh Saeed Abdul Ghaffar Khouri, dari UAE pada 2008, juga semasa lelongan yang dianjurkan oleh Emirates Auction.



Pembelian itu masih disenaraikan sebagai pemegang rekod untuk plat kereta paling mahal pernah dijual di dunia, menerusi laman web GWR.

Di Hong Kong, satu nombor plat lesen dengan hanya huruf ‘R’ dijual pada harga 25.5 juta dolar Hong Kong, (kira-kira RM14.3 juta), pada Februari lalu.

Ahli perniagaan yang berpangkalan di Dubai, Balvinder Singh Sahni, memberitahu Bloomberg bahawa dia sudah membeli plat kereta ‘D5’ pada harga 33 juta dirham (kira-kira RM38.4 juta) pada 2016.



“Dubai adalah bandar emas. Ia bandar orang kaya … Semua orang mahu menunjukkan status mereka.

“Saya sentiasa ada impian saya untuk mempunyai nombor (plat) satu digit,” tambahnya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button