SPRM geledah pejabat, rumah Sivakumar

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar semalam.

Difahamkan ia dilakukan bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Sumber memaklumkan, penggeledahan terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperolehi Sivakumar.



“Penggeledahan itu dilakukan SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil. Sivakumar telah dipanggil SPRM semalam (Ahad) untuk bantu siasatan susulan siasatan terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

“Kehadiran Sivakumar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi menjelaskan dakwaan bahawa beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.

“Ahli perniagaan berkenaan dipercayai membuat ‘public relation‘ mewakili Sivakumar untuk meminta wang kepada individu tertentu yang menjalankan projek kerajaan di kementerian itu sebagai jaminan agar mereka dapat meneruskan projek dilaksanakan selain menjanjikan akan diberikan projek lain selepas itu,” katanya.

Tambah sumber, perbuatan yang dilakukan ahli perniagaan itu disyaki berada di bawah pengetahuan kedua-dua pegawai Sivakumar yang dikatakan pernah menyaksikan pemberian wang itu.



“Wang berkenaan disyaki dibayar secara tunai sebelum kesemua wang itu didakwa akan diserahkan kepada Sivakumar,” katanya yang turut memaklumkan Sivakumar dibebaskan selepas keterangannya direkodkan, semalam.

Usaha mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, belum berhasil.

Jumaat lalu, SPRM menahan Setiausaha Sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading