Michel didapati bersalah dalam kes 1MDB

WASHINGTON: Juri Mahkamah Persekutuan Washington pada Rabu lalu mensabitkan kesalahan terhadap penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel ‘Pras’ Michel dari kumpulan hip hop The Fugees atas tuduhan jenayah.

Dia didapati berkomplot dengan ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran dua bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Donald Trump.

Michel didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, bertindak sebagai ejen kerajaan asing, mengganggu saksi, pengubahan wang haram dan memalsukan rekod kewangan kempen.



Sabitan itu adalah susulan daripada perbicaraan yang dipenuhi dengan muslihat politik selain menampilkan saksi berprofil tinggi termasuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio dan bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

Dalam perbicaraan terbabit, Michel disoal balas secara terperinci oleh pasukan pendakwa raya, yang mencabar sebahagian besar kenyataannya ketika dia memberi keterangan pembelaan.

Jho Low yang turut menghadapi pertuduhan berasingan di New York didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion (RM20 bilion) daripada dana kekayaan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kini masih bebas.

Menurut pendakwa raya, ‘The Fugees’ memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris pada 1996, ‘The Score’.



Namun, menjelang 2012, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Jho Low, yang terkenal kerana mengadakan pesta mewah dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.

Pendakwa raya berkata, Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta (RM9 juta) daripada Jho Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012 sebagai pertukaran untuk menerima berjuta-juta dolar lagi.

Oleh kerana undang-undang pilihan raya Persekutuan melarang warga asing menderma kepada kempen AS, pendakwa raya berkata, Michel menyembunyikan sumber dana itu.



Michel juga dituduh berusaha meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan penyiasatan sivil dan jenayah terhadap Jho Low berhubung skandal 1MDB dan cuba melobi kerajaan AS bagi pihak China untuk menghantar pulang bilionair dan pembangkang China, Guo Wengui, kembali ke negaranya.

Guo sendiri kini ditahan atas tuduhan menipu pelabur manakala Michel, 50, didapati bersalah dalam 10 pertuduhan terhadapnya dan boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun bagi tuduhan paling serius, menurut Jabatan Keadilan AS.

Ketika di kandang saksi, Michel turut mengakui bahawa dia menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membayar tiga rakannya untuk menghadiri dua kutipan derma politik untuk kempen Obama pada 2012, tetapi menafikan berbuat demikian atas arahan Jho Low.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button