Miros jalankan penilaian model baharu Perodua Axia

Putrajaya: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memaklumkan akan menjalankan penilaian ke atas model baharu Perodua Axia susulan laporan insiden pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu).

Pengerusi Miros, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, penilaian akan dilakukan biarpun setakat ini belum ada sebarang aduan mengenai tahap keselamatan dibuat pemilik kenderaan itu.

“Setakat ini Miros belum menerima sebarang aduan daripada pemilik kenderaan, namun kami akan melihat dakwaan dibuat Perodua.



“Penilaian akan dilakukan secepat mungkin, pihak kami juga sudah menghubungi pihak Perodua berkait isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu Co Ltd membuat pendedahan mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ ujian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Daihatsu mengeluarkan kenyataan media pada 28 April lalu berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model termasuklah Perodua Axia baharu.

Sebelum ini dilaporkan kira-kira 11,800 Perodua Axia berkemungkinan terjejas dengan insiden pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu.



Menurut laporan berita oleh Reuters, sekutu Toyota Motor Corporation (Toyota), Daihatsu telah memalsukan sebahagian daripada ujian keselamatan perlanggaran sisi pintu yang dijalankan untuk lebih 88,000 kereta kecil, yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota.

Dikatakan kemasan pintu pada kenderaan yang terjejas diubah suai dengan ‘takuk’ untuk meminimumkan risiko dalam ujian bahagian dalam pintu boleh pecah dengan bucu tajam dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang apabila beg udara sisi digunakan dalam kemalangan.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading