Wanita dikompaun jual gula mahal

KOTA BHARU: Menggunakan alasan membantu kenalan yang terputus bekalan gula, seorang wanita dikenakan kompaun kerana menjual gula paket 1 kilogram (kg) melebihi harga ditetapkan.

Wanita yang menjalankan perniagaan runcit itu membeli gula secara pukal sebelum membungkus semula dalam paket 1kg dan menjual dengan harga yang tinggi iaitu RM3.90 sepaket.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata tangkapan terhadap peniaga berusia 40-an itu dibuat di Kampung Rawa Bechah Laut, Tanah Merah.



“Siasatan awal mendapati berlaku transaksi jualan semasa serbuan dibuat dan alasan yang digunakan adalah untuk membantu kenalan yang terdesak mendapatkan bekalan gula.

“Wanita itu mendapatkan bekalan gula dari luar Kelantan dan menjual barangan itu pada harga RM3.90 sekilo berbanding RM2.85 harga semasa.

“Sebanyak 51kg gula pasir bertapis disita dengan jumlah sitaan bernilai RM145.35 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual gula pasir melebihi harga kawalan,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri KPDN Kelantan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik kerana isu bekalan gula akan pulih dalam masa terdekat.



Beliau berkata, bekalan gula terputus di negeri ini adalah disebabkan penutupan sementara dua kilang gula di Pulau Pinang dan Johor sempena Aidilfitri lalu malah bermula kelmarin hingga hari ini, sebanyak 100 tan metrik gula sedang diterima untuk dihantar kepada tiga pemborong besar di Kelantan.

Azman berkata, KPDN Kelantan menubuhkan pasukan khas melalui Op Manis yang bermula hari ini untuk memberi tumpuan penuh dalam usaha pemulihan bekalan gula, mengelakkan pembelian panik, bersyarat, menyorok bekalan dan menjual melebihi harga.

Dalam pada itu, pihaknya menerima 11 aduan berkaitan isu terbabit iaitu tiada bekalan gula, peniaga enggan menjual dan gula dijual pada harga mahal.

“Untuk rekod, kami menyelaraskan pengagihan kepada rantaian pengedaran pemborong, pasar raya dan peruncit serta peniaga seluruh Kelantan iaitu sebanyak 111 premis secara keseluruhan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button