Kerja sambilan tidak wujud, rugi RM55,700

 

Penyelia lombong kerugian sebanyak RM55,700 selepas ditawarkan peluang kerja sambilan tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

Mangsa berusia 38 tahun terpedaya selepas tertarik dengan komisen lumayan antara 10 hingga 15 peratus hasil jualan yang dilakukan, hanya mengikut setiap arahan diberikan seorang wanita tidak dikenali.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata terdahulu mangsa mengenali seorang lelaki bernama Ting Li Su atau nama gelaran Teng Teng melalui facebook yang menawarkan kerja sambilan.

Menurutnya, bermula daripada situ mangsa diarahkan supaya memuat turun satu aplikasi iaitu Nice Jobs dengan kata laluan diberikan oleh Teng Teng sebagai langkah permulaan menjalankan kerja sambilan berkenaan.

 



Katanya, tugasan yang perlu dilakukan mangsa adalah menjadi orang tengah antara pembeli dan penjual dalam aplikasi berkenaan.

“Apabila pembeli membuat pesanan dalam aplikasi itu mangsa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu kepada penjual.

Kemudian penjual akan menghantar barang dan membayar semula wang mangsa berserta komisen sebanyak 10 hingga 15 peratus setelah pembeli membuat bayaran.

“Bagi tugasan pertama hingga ke empat, mangsa mendapat komisen yang dijanjikan dan telah dimasukkan ke dalam akaun milik mangsa.

“Bermula tugas ke lima dan seterusnya mangsa tidak mendapat komisen, sebaliknya dia perlu memasukkan wang ke dalam tiga akaun yang berbeza bermula 22 Ogos hingga 2 September lalu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa melakukan sebanyak 13 transaksi membabitkan sebanyak RM60,700, menggunakan wang simpanannya.

Mohd Wazir berkata, hingga hari ini mangsa mendakwa tidak menerima apa-apa komisen daripada sembilan transaksi berjumlah RM55,700 membabitkan dua akaun.

“Aplikasi Nice Jobs itu telah disekat dan penama Teng Teng juga tidak dapat dihubungi, mangsa merasa diperdaya dan mengalami kerugian sebanyak RM55,700.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam selepas merasakan dia tertipu,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker