Kerana selisih faham, pelajar dipukul

Ampang: Hanya kerana perselisihan faham seorang pelajar tingkatan tiga ditumbuk dan diterajang oleh sekumpulan pelajar senior di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.

“Pada 8 Mei jam 9.30 pagi semasa di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di bahagian belakang oleh seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang dikenali.



“Mangsa diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

Jam lebih kurang 3 petang mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior tingkatan lima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali sambil disaksikan sekitar 15 pelajar lain.



Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam.

Terdahulu kejadian itu tular selepas tiga video dimuat naik seorang pengguna Instagram memaparkan mangsa yang keseorangan hanya mampu terbaring sambil cuba melindungi dari dari terus dipukul suspek.

“Kau tak ‘respect’!,” kata salah seorang suspek sambil menumbuk kepala dan badan mangsa secara bertubi-tubi.

Mengulas lanjut Mohd Farouk berkata, kesemua suspek sudah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.



“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

“Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button