Jam tangan dikaitkan dengan LGBT di rampas – KDN

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr, memaklumkan terkejut dan kecewa dengan rampasan yang dilakukan itu.

Nick berkata, pihaknya menyokong kepelbagaian dan inovasi yang ditonjolkan.

“Swatch berbangga menjadi kanvas pada tangan pemakai jam jenama kami yang merangkumi pelbagai jenis individu di serata dunia serta karyawan yang bekerjasama dengan kami.

“Jenama ini diminati kerana kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland. Kami tidak merasakan koleksi jam yang menggunakan warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan orang lain.

“Sebaliknya, Swatch sentiasa mempromosikan mesej positif berkaitan kegembiraan dalam hidup. Mesej ini tidak bersifat politik. Dalam hal ini, timbul tanda tanya sama ada Bahagian Penguat kuasa Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri akan ‘merampas’ pelangi yang muncul secara semula jadi yang terdapat di langit,” kata Nick seperti dipetik sebuah portal.

Menurutnya, sejak dahulu lagi jenama jam itu dikenali dengan kepelbagaian warna dan rekaan yang bertujuan meraikan kepelbagaian individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Nick berharap supaya jam tangan yang dirampas itu dikembalikan semula kepada pihaknya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker