Jersi Kelantan Darul Naim FC dijual selepas Hari Raya

 

Oleh Pena Merah

Jersi Kelantan Darul Naim FC dijual selepas Hari Raya
Mohd. Shukry menunjukkan kit latihan KDN FC yang sudah dijual di Pusat Jualan PUC Sport di Kubang Kerian, Kota Bharu

Jersi rasmi musim 2023/2025 pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) atau dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC bakal menemui  peminat sukan bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd. Shukry Pauzi berkata, jersi utama, kedua dan ketiga akan dilancarkan serentak sekali gus akan menarik perhatian ramai berikutan KDN FC merupakan satu-satunya wakil dari Kelantan yang bakal bersaing pada aksi Liga Super musim 2024/2025.



Menurutnya, reka bentuk jersi rasmi terutamanya jersi utama akan membawa jiwa Kelantan agar ia lebih rapat dengan rakyat negeri ini bersesuaian dengan hasrat pihak pengurusan KDN FC.

“Secara umumnya reka bentuk dan tema jersi utama akan berasaskan bendera Kelantan termasuk dari sudut warnanya agar ia akan lebih dekat dengan jiwa rakyat negeri ini.

“Secara secara keseluruhannya kita ada sebanyak 50,000 pengeluaran jersi bagi musim ini dengan 15,000 daripadanya adalah jersi rasmi (utama, kedua dan ketiga) yang akan dijual pada kadar harga mampu milik di bawah RM100,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukry memberitahu, sebanyak 5,000 unit kit edisi khas pelancaran jersi akan turut dikeluarkan dengan 1,500 unit diberi percuma.



Menurutnya, kit latihan yang sudah digunakan oleh KDN FC dalam tiga warna iaitu merah, biru dan firus yang akan mula dijual kepada umum pada harga RM49 seunit dan RM100 untuk tiga unit.

“Selebihnya adalah jersi pelbagai guna termasuk kit perjalanan, pengurusan dan sebagainya. Lebih penting pengeluaran jersi rasmi akan mengikut kualiti jersi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahap terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukry berkata, jenama-jenama sukan tempatan yang kini sudah banyak menaja pasukan-pasukan dalam pelbagai disiplin sukan membuktikan ia semakin diterima oleh rakyat Malaysia.

“Penglibatan jenama-jenama pakaian dan peralatan sukan tempatan dalam penajaan pasukan sebenarnya telah membuka mata ramai bahawa kita mampu menyediakan produk berkualiti dan setara dengan jenama antarabangsa.



“Kita juga berharap peminat berhati-hati membeli jersi-jersi keluaran PUC Sport agar tidak membeli produk cetak rompak terutamanya di platform dalam talian,” ujarnya. – Kosmo Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button