Apakah Sayap UMNO Masih Setia Kepada Parti?

Apakah Sayap UMNO Masih Setia Kepada Parti?

Apakah Sayap UMNO Masih Setia Kepada Parti?

Sekiranya di buka buku sejarah perjuangan UMNO, sayap parti merupakan elemen terpenting parti apabila parti berhadapan dengan pilihanraya.

Paling digeruni lawan dan disegani musuh UMNO adalah Wanita dan Pemuda UMNO.

Wanita UMNO adalah kumpulan yang paling setia dengan perjuangan parti ketika susah dan senang.



Setiap kali pilihanraya, Wanita UMNO akan menyingsing lengan turun ke padang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

Golongan Pemuda UMNO pula menjadi kuasa menggempur musuh, menjawab segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan lawan.

Siapa sahaja yang berani menyinggung institusi presiden atau pun parti, bersedialah untuk menghadapi serangan balas dari Wanita dan Pemuda UMNO.

Kesetiaan Wanita dan Pemuda terhadap institusi presiden dan parti tidak perlu dipertikaikan.



Tiada gunung yang tidak boleh didaki, tiada lurah yang tidak boleh mereka turuni dan tiada lautan yang terlalu luas untuk mereka harungi.

Seperti kata pepatah, berpatahkan paruh, bertongkatkan sayap, namun gunung tetap didaki juga.

Kerja keras dan pengorbanan mereka bukan mengharapkan imbuhan harta atau kuasa.

Tetapi demi menyuburkan wadah perjuangan UMNO dalam membela agama, bangsa dan tanah air.



Inilah iltizam dan jihad mereka dan mereka rela terkorban dalam mempertahankan perjuangan parti.

Kini UMNO sudah memasuki fasa baharu.

Dari 2 sayap, UMNO kini sudah mempunyai 3 sayap, yang terbaru adalah sayap Puteri UMNO.

Sepatutnya, dengan adanya Puteri UMNO, jentera parti untuk memikat pengundi dan menggempur musuh menjadi lebih berkesan.



Wanita memikat pengundi di kalangan wanita yang berusia lebih dari 40 tahun, Puteri menghampiri golongan remaja Wanita dan profesional muda.

Manakala Pemuda pula bersama jemaah anak muda yang berusia antara 18 hingga ke 40 tahun.

Presiden Menuntut Keikhlasan Dalam Perjuangan

Sayang seribu kali sayang, susunan saf kepimpinan yang cukup cantik yang telah disusun oleh kepimpinan terdahulu, kini semakin pincang.



Usai PRU 14, sayap UMNO dilihat semakin lesu, malah ada yang sudah diresapi jampi mantra musuh UMNO yang menjadi pengkhianat parti.

Rumah agam UMNO sekali terpukul dengan badai yang maha dahsyat dalam PRU 15, malah kali ini hampir-hampir meranapkan terus rumah agam UMNO.

Selepas pemilihan parti yang lepas, presiden cuba menyusun semula barisan kepimpinan dengan harapan rumah agam UMNO dapagt berdiri megah semula.

Tetapi ketika kepimpinan utama berserta akar umbi parti bermandikan keringat untuk menaikkan semula tiang seri rumah agam UMNO, ke mana menghilangnya sayap UMNO.



Siang dan malam, institusi presiden dan parti diserang teruk tanpa henti, di mana suara Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO?

Mereka bukan sahaja membisu seribu bahasa, malah ada kalangan mereka yang mengeluarkan kenyataan yang boleh melemahkan parti.

Tidak hairan apabila presiden UMNO mula bersuara, menuntut agarĀ sayap UMNO menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan.

Fahamilah maksud yang tersirat di sebalik tuntutan presiden.

UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Bukan parti untuk meraih kekayaan harta atau pun kuasa.

Sedarlah, UMNO kini hanya menjadi kuasa picisan di dalam kerajaan.

Tanpa UMNO, kerajaan yang ada sekarang masih berdiri teguh memerintah.

Carilah penawar kepada jampi mantra yang telah mengaburi semangat dan jiwa kalian.

Jangan dibunuh wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air kerana adanya terselit agenda peribadi yang bertunjangkan musuh parti.

Ingat pesanan dari mantan presiden UMNO, DS Najib, tanpa UMNO akan terbangsatlah Melayu di bumi sendiri.

 

Apakah Sayap UMNO Masih Setia Kepada Parti?

 

Di Syorkan Untuk Anda:

Temui Kami:

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button