4 ‘lanun’ rompak pelantar minyak ditahan

Kota Tinggi: Empat ‘lanun’ tempatan ditahan selepas disyaki melakukan rompakan berkumpulan di pelantar minyak Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rompakan dipercayai berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.35 pagi semalam.

Menurutnya, pihak APMM Johor menerima aduan mengenai insiden rompakan yang berlaku di atas pelantar terbabit pada 10.30 malam kelmarin.



“Ini adalah rompakan laut pertama membabitkan warga tempatan.

“Kes ini adalah berprofil tinggi kerana sebelum ini kes rompakan laut banyak membabitkan warga asing.

“Selepas menerima aduan, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam Ops Pagar Laut diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah bot gentian kaca warna putih bersama empat orang yang disyaki berada di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.



“Ketika tiba, suspek sedang menarik kabel logam di bawah pelantar dan berlagak seperti pekerja pelantar.

“Namun selepas pihak kami memperkenalkan diri, suspek dilihat menenggelamkan bot gentian kaca itu, mungkin disebabkan kerana bot terbabit tersangkut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat APMM Tanjung Sedili di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa.

Menurutnya, mereka itu kemudiannya berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan sebelum terjun ke laut.



Saiful Lizan berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 27 hingga 47 tahun termasuk dua beradik.

Menurutnya, pihak APMM mengalami sedikit kesukaran untuk menahan suspek kerana keadaan mereka yang agresif dan juga lokasi di bawah pelantar yang sempit.

Katanya, pelantar terbabit ialah pelantar minyak yang sedang diselenggara dan kabel logam yang dicuri adalah kabel yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

“Hasil siasatan awal, salah seorang suspek adalah ketua kumpulan itu dan semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan memiliki senjata.



“Sehingga kini operasi mencari bot gentian kaca yang ditenggelamkan suspek masih giat dilakukan.

“Kesemua suspek telah direman selama lima hari bermula hari ini hingga 29 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya kegiatan itu sudah lama dilakukan suspek yang menggunakan bot gentian kaca tidak berdaftar.

“Selepas menahan suspek itu, pihak kami melakukan pemeriksaan awal di pelantar sebelum ditemukan dua kru warga tempatan berusia 24 dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.



“Mangsa mendakwa pelantar itu dinaiki tiga lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang dan menyerang serta mengikat kaki, tangan dan mulut mereka sebelum dikurung dalam sebuah kabin.

“Mangsa terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa.

“Suspek juga dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan kerja dan dua telefon bimbit milik mangsa turut dilaporkan hilang.

“Nilai dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih di dalam siasatan,” katanya.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading