Bursa Malaysia melantun semula, naik dua mata

KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia meningkat sedikit dalam sesi awal urus niaga pagi ini apabila kegiatan memburu saham murah muncul susulan penjualan semalam, kata seorang peniaga.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah dua mata menjadi 1,478.38 berbanding 1,476.38 pada penutupan Selasa.

Indeks utama itu memulakan dagangan pada paras 1,476.39.



Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 274 berbalas 137, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,487 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 409.28 juta unit bernilai RM167.57 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan aktiviti memburu saham murah akan muncul hari ini memandangkan prestasi Wall Street yang memberangsangkan semalaman selepas pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell, berkata inflasi mungkin berkurangan.

“Kita mungkin menyaksikan kemunculan beberapa aktiviti memburu saham murah selepas penurunan mendadak semalam, terutamanya dalam sektor teknologi, sejajar dengan lantunan semula di Wall Street,” katanya.



Mengenai komoditi, firma pembrokeran itu menyatakan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi paras AS$83 setong berikutan pemulihan permintaan daripada aktiviti pembukaan semula China, manakala minyak sawit mentah melantun melebihi RM3,900 satu tan apabila sentimen menjadi lebih positif.

Justeru, ia menjangkakan sektor minyak dan gas akan menarik pelabur di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah, sambil menambah musim pelaporan yang akan datang dan pembentangan semula Belanjawan 2023 turut menjadi perhatian.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa – Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing naik satu sen kepada RM8.64, RM4.17 dan RM9.40, manakala Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM8.18 dan CIMB turun tiga sen kepada RM5.55.

Bagi saham aktif, MY E.G. Services meningkat tiga sen kepada 73 sen, Ta Win naik setengah sen kepada 8.5 sen dan Leform menambah satu sen menjadi 24.5 sen, manakala Aemulus Holdings turun enam sen kepada 39.5 sen dan Iris Corporation tidak berubah pada 16.5 sen.



Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 22.71 mata kepada 10,796.81, Indeks FBMT 100 meningkat 19.23 mata kepada 10,457.19 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 30.01 mata kepada 11,127.51.

Indeks FBM 70 peroleh 47.09 mata kepada 13,743.54 dan Indeks FBM ACE lebih tinggi 32.58 mata menjadi 5,869.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.49 mata kepada 190.72, Indeks Tenaga menambah 15.20 mata kepada 913.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 18.53 mata menjadi 16,153.86, dan Indeks Perladangan meraih 4.42 mata kepada 6,930.37.

BERNAMA




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading