Premis kitar semula haram diserbu JAS
Premis kitar semula haram diserbu JAS
ALOR SETAR: Kegiatan sebuah premis kitar semula buangan terjadual dan skrap logam yang beroperasi secara haram terbongkar selepas diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sebuah kawasan di Sungai Petani, semalam.
Serbuan bermula jam 9 pagi hingga 7.45 petang hasil aduan orang ramai itu turut disertai Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab bersama 32 pegawai dan anggota.
Sharifah Zakiah berkata, serbuan dijalankan terhadap sebuah premis yang dikenal pasti mempunyai isu ketidakpatuhan terhadap keperluan perundangan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Katanya, JAS Kedah telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap aktiviti yang dijalankan dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi secara haram.
“JAS Kedah telah mengeluarkan notis arahan bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, AKAS 1974 bagi tindakan pembetulan yang perlu dilaksanakan oleh premis.
“Selain itu, JAS Kedah menyita kelengkapan operasi bagi menghentikan operasi yang dijalankan secara haram dan menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, antara tindakan lain yang diambil ialah mengeluarkan kompaun dan lain-lain tindakan selaras kehendak perundangan.
Katanya, pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tidak menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.
Premis kitar semula haram diserbu JAS
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :