Elak duti RM33 juta sindiket didakwa isnin ini

Oleh – Syeikh Baran


Elak duti Rm33 juta sindiket didakwa isnin ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa enam ahli sindiket yang terlibat dalam pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta pada 15 dan 16 Januari ini.



Kesemua suspek yang merupakan pengusaha dan ‘runner’ perkhidmatan gudang sita penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi dan pernah ditahan SPRM menerusi satu operasi khas satu‘Op Eagle’ pada Julai 2023. 

Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Operasi dijalankan SPRM susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

Ketika itu, LKAN menyebut bahawa terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam melibatkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce.



Susulan LKAN 2022 itu, SPRM menjalankan Op Eagle sebelum mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

Sindiket ini menggunakan surat akuan sumpah atas nama pemilik kenderaan yang palsu sebagai tulen kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menerusi operasi itu juga, SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC) seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah yang disyaki mengelak daripada dikenakan duti kastam.

Pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM telah berjaya menyita 9 kereta mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta.



Hasil operasi itu juga, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta selain turut menahan seramai tujuh individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek akan didakwa.

Kata beliau, mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan. 

“SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini,” katanya. 



Sumber – UTUSAN

 


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading