Feyenoord menewaskan AS Roma

Rotterdam, Belanda: Mats Wieffer menjaringkan gol kemenangan Feyenoord yang menewaskan AS Roma 1-0 di tempat sendiri dalam saingan peringkat pertama suku akhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Wieffer meledak rembatan voli di luar kotak penalti minit ke-53 bagi membolehkan pendahulu liga Belanda itu membawa bekalan satu gol untuk aksi kedua di ibu kota Itali minggu depan.

Ia malam bermakna buat pemain berusia 23 tahun itu yang kali pertama menyarung jersi Belanda bulan lalu dan dia menjadi punca penalti Roma minit ke-43 susulan mengasari Tammy Abraham.



Namun rembatan Lorenzo Pellegrini terkena tiang sekali gus terlepas peluang mendapatkan gol penting dalam aksi sengit di Stadium Feyenoord.

Gol Wieffer diperolehi hasil larian bertenaga pemain sayap Oussama Idrissi di sebelah kiri.

“Saya selalu diberitahu supaya kerap merembat dari jauh. Kali ni saya ada masa merancang dan fikir: “Saya hanya perlu rembat walaupun ia tersasar. Mungkin ia perlu kerap dilalukan, ia masuk dengan cantik hari ini,” kata Wieffer kepada wartawan.

Roma berdepan dua kecederaan serius selepas Paulo Dybala dikeluarkan pada awal babak permainan disusuli Abraham pada babak kedua akibat kecederaan bahu.



“Sudah tentu kami mempunyai peluang tetapi bola sepak bukan mengenai peluang. Ia mengenai menjaringkan gol,” kata jurulatih Roma, Jose Mourinho.

Skuad Mourinho menewaskan Feyenoord 1-0 pada final Liga Konferens Eropah musim lalu.

Aksi peringkat kedua berlangsung di Stadium Olimpik Rom Khamis depa dan pemenang akan menentang Bayer Leverkusen dari Jerman atau wakil Belgium, Saint Gilloise di separuh akhir.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button