Misi hatrik Axelsen lebur

 

Oleh –  Syeikh Baran


Misi hatrik Axelsen lebur

: Pemain perseorangan lelaki China, Shi Yu Qi menjadi pemusnah terhadap impian jaguh Denmark, Viktor Axelsen untuk merangkul gelaran hatrik di PETRONAS Terbuka Malaysia selepas menyingkirkan pemain nombor satu dunia itu di separuh akhir, hari ini.



Yu Qi yang sebelum ini tewas dalam sembilan daripada 11 pertemuan dengan Axelsen menampilkan aksi terpuji untuk memenangi perlawanan 21-12, 19-21, 21-17 pada aksi yang berlangsung selama 70 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.

Ini adalah kali pertama bekas naib juara dunia 2018 melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Axelsen, Yu Qi, berkata: “Axelsen adalah pemain nombor satu dunia dan daripada psikologinya saya ada kelebihan kerana tekanan lebih kepada dirinya.

“Namun, dari segi fizikal, Axelsen ada kelebihan kerana tangannya kuat dan tinggi. Jadi, saya hanya fokus dan menikmati perlawanan,” kata Yu Qi ketika ditemui selepas tamat perlawanan.



Kemenangan itu menyaksikan Yu Qi berjaya melunaskan dendamnya ke atas Axelsen di atas kekalahan pada final Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, bulan lalu.

Axelsen sebelum ini berjaya merekodkan dua kejuaraan berturut-turut di Terbuka Malaysia selepas mendominasi saingan edisi 2022 serta 2023 dan jika berjaya melangkah ke final dia berpeluang menjadi pemain dari luar negara pertama mencipta hatrik di kejohanan Super 1000 itu.

“Saya rasa jika anda lihat secara realistik, walaupun saya sentiasa mahukan kemenangan tetapi pemenang paling berhak adalah Yu Qi. Saya harus memberi penghargaan buatnya dan dia adalah pemain yang lebih baik daripada saya,” kata Axelsen.

Yu Qi akan berdepan seorang lagi pemain Denmark, Anders Antonsen pastinya turun pada aksi final esok dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan negara itu buat kali ketiga dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia.



Lain-lain perlawanan menyaksikan beregu lelaki India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty berjaya mengejutkan juara dunia, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae dengan kemenangan straight set 21-18, 22-20.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kedua akan menentang Liang Wei Keng-Wang Chang dari China yang mara ke final selepas mengalahkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun) 21-12, 19-21, 21-13.

Beregu wanita China lakar kejutan

Misi hatrik Axelsen lebur

Sementara itu bagi saingan beregu wanita, Zhang Shu Xian-Zheng Yu dar China berjaya melakar kejutan dengan menumpaskan pilihan kedua dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-17, 21-17.



Menanti mereka di perlawanan akhir ialah rakan senegara, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang berjaya mencatat kemenangan mudah 21-11, 21-16 ketika berdepan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Dalam aksi beregu campuran, pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun mara ke final selepas menumpaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-16, 21-16.

Mereka akan berdepan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang sebelum itu menyingkirkan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan kemenangan 21-15, 12-21, 21-15.

Sumber – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button