Konsert pertama gabung M Nasir, Hattan

Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Datuk M Nasir dan Datuk Hattan tampil dengan kelainan apabila memilih Sabah dan Sarawak sebagai lokasi konsert gabungan mereka buat kali pertama menerusi Konsert Sifu & Aku 38.

M Nasir berkata, pemilihan ini dibuat bagi memberikan perubahan terhadap industri seni hiburan tanah air.

“Saya banyak buat persembahan di Kuala Lumpur. Jadi, saya nak buat perubahan sikit menerusi konsert ini. Disebabkan itu kami tampil dengan idea jelajah ini, kami mulakan di Sabah dan Sarawak, Insya-Allah seterusnya ke Kuala Lumpur.



“Selalunya asyik Kuala Lumpur saja yang jadi pilihan. Kami juga percaya Sabah dan Sarawak adalah lokasi baik. Saya juga agak yakin konsert di sana dapat menarik penonton sebab saya juga suka buat persembahan di sana.

“Di sana jarang ada konsert besar, yang banyak hanya majlis makan malam. Disebabkan itu kami ambil peluang ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert itu, hari ini.

Konsert Sifu & Aku 38 di Sarawak akan berlangsung pada 25 Mei ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dan seterusnya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 1 Jun depan.



Idea penganjuran konsert ini dicetuskan oleh Hattan dan dia menganggap Konsert Sifu & Aku 38 sebagai sebuah epik dalam dunia seni bagi kariernya dan figura yang dihormati.

“Ini adalah sejarah pertama dalam industri muzik yang menggabungkan sifu dan anak murid di satu pentas yang sama.

“Sebelum ini kita tengok adik-beradik buat konsert seperti Anuar Zain dan Ziana Zain, jadi ini adalah satu yang baharu untuk industri muzik kita.



“Semua orang tahu M Nasir adalah guru saya dan saya mengimpikan konsert ini sejak lima tahun lalu dan baru tahun ini kami dapat merealisasikan, jadi kami mulakan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, barisan pemuzik yang terbabit dalam konsert ini juga adalah mereka yang banyak bersama di sepanjang perjalanan muzik M Nasir dan dia sendiri.

“Kami mempersembahkan lebih 20 lagu termasuk duet. Ini juga bukan sekadar konsert, tapi penonton akan dapat melihat persembahan yang penuh dengan penjiwaan,” katanya.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading