‘Saya ajar anak mengucap sampai dia pergi..’

Oleh – Syeikh Baran


'Saya ajar anak mengucap sampai dia pergi..'

Seorang bapa berdepan detik sayu apabila memangku anaknya sambil diajar mengucap sebelum meninggal dunia akibat terjatuh pokok durian setinggi lebih 20 meter di Kampung Gong Anak Nyior dekat Telosan, di sini, semalam.



Mohd Zainuri Hamzah, 44, dilapor meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bapa mangsa, Hamzah Noh, 74, bersama isteri, Rahani Saad, 64, dan Mohd Zainuri ke kebun untuk menabur baja pokok durian yang menjadi rutin harian.

“Anak saya memanjat pokok durian untuk mengambil petai yang terlekat pada pokok.

“Masa sampai atas (pokok durian), anak beritahu dia pening, saya suruh dia berhenti sekejap.



“Kemudian dia tanya ada air nak minum tak, saya kata ada dan ketika meluru ambil minuman, saya terdengar bunyi benda jatuh dengan kuat.

“Saya dongak tengok anak tiada atas pokok, rupanya dah jatuh ke tanah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Hamzah berkata, ketika itu anaknya masih bernafas dan sempat mengadu sakit di bahagian belakang pinggang.

Beliau bergegas keluar ke jalan besar kira-kira 500 meter dari kebun mereka dan memanggil orang kampung sebelum kembali mendapatkan mangsa.



“Saya ajar dia mengucap. Dalam sejam kemudian, saya lihat tangannya sudah bertukar pucat dan bila saya periksa nadi, dah tak ada (meninggal dunia),” katanya.

Hamzah berkata, arwah adalah duda kepada dua anak berusia 13 dan 11 tahun yang tinggal bersamanya selepas berpisah dengan isteri.

Jenazah anak kedua daripada enam beradik itu dikebumikan jam 11.30 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telosan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria mengesahkan kejadian.



Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat dan punca kematian ialah kecederaan bahagian dada,” katanya.

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading