Janji rumah, pinjaman bantu tingkat populasi

 

Oleh – Syeikh Baran


Janji rumah, pinjaman bantu tingkat populasi

Parti politik utama Korea Selatan berikrar mewujudkan lebih banyak perumahan awam dan bantuan pinjaman dalam usaha membendung penurunan populasi di negara itu.



Kaedah itu digariskan menjelang pilihan raya pada April, bertujuan untuk meredakan kebimbangan ‘kepupusan negara’ apabila kadar kesuburan merudum.

Tumpuan parti terhadap populasi dalam rancangan pilihan raya mereka mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat selepas perbelanjaan lebih 360 trilion won (RM1.2 trilion) sejak 2006 gagal meningkatkan rekod kadar kesuburan yang rendah.

Dengan Korea Selatan dijangka menjadi masyarakat ‘penuaan super’ pada 2025 kerana lebih seperlima penduduknya melepasi 65 tahun, kerajaan mengunjurkan jumlahnya akan turun kepada 36.2 juta pada 2072 daripada 51.6 juta pada 2022.

“Kepupusan negara bukanlah sesuatu yang akan berlaku jauh pada masa hadapan, sebaliknya ia adalah cabaran yang akan berlaku,” kata pemimpin Parti Demokrat, Lee Jae-myung.



Korea Selatan mengunjurkan kadar kesuburannya, atau purata bilangan kanak-kanak yang dilahirkan kepada seorang wanita, berkemungkinan turun kepada 0.68 pada 2024, melepasi angka 0.78 pada 2022, yang merupakan rekod terendah.

“Kita tidak mempunyai banyak masa,” kata Presiden, Yoon Suk-yeol dalam mesej Tahun Baru, merujuk kepada krisis penduduk.

Parti Kuasa Rakyat konservatif dalam programnya untuk memudahkan kehidupan ibu bapa, memberi tumpuan kepada cuti yang lebih panjang, waktu kerja fleksibel serta pelepasan cukai untuk majikan bagi menawarkan keadaan kerja mesra keluarga.

Demokrat, yang berkempen untuk mengekalkan majoriti menjanjikan lebih banyak perumahan awam untuk keluarga muda dan pinjaman faedah rendah yang akan dibatalkan jika mereka mempunyai anak.



Pasangan muda juga akan menerima geran anak-anak tanpa cukai sepanjang tahun hingga sekolah menengah.

“Terpaksa memilih untuk tidak mempunyai anak dan terdapat banyak sebab untuk itu, benar-benar realiti yang kejam,” kata Jae-myung.

Demokrat bercadang untuk membantu keluarga muda menjadi pemilik rumah dengan memberi pilihan kepada mereka yang mempunyai anak untuk membeli rumah sewa pada kadar di bawah harga pasaran.

Pasangan yang baru berkahwin akan layak mendapat pinjaman faedah rendah sehingga 100 juta won (RM353,628) yang akan dibatalkan jika mereka mempunyai tiga anak, dengan jumlah geran sama ditawarkan berdasarkan bilangan anak.



Kos perumahan dan pendidikan dalam masyarakat di mana persaingan tanpa henti bermula sebaik sahaja tahun prasekolah disebut sebagai sebab utama semakin kurang golongan muda berkahwin setiap tahun dan keluarga tidak mempunyai ramai anak.

Data kerajaan menunjukkan, pasangan yang berkahwin selama lima tahun atau kurang tanpa anak mencecah rekod tertinggi 46.4 peratus pada 2022.-REUTERS

Sumber – UTUSAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading