Bantah pengurangan upah bayaran

Oleh – Syeikh Baran


Bantah pengurangan upah bayaran
PENUNGGANG p-hailing yang mengadakan perhimpunan dan menghantar memorandum bantahan penurunan kadar upah bayaran kepada Grab Malaysia di Ipoh hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Seramai 2,000 penunggang p-hailing, Grabfood Malaysia (Grabfood) di Ipoh membantah pengurangan upah bayaran berikutan tidak menerima sebarang notis mengenainya.

Wakil penunggang p-hailing di sini, Khairul Akmal Razali, 31, berkata, mereka terkejut apabila kadar upah bayaran turun mendadak sehingga 30 peratus iaitu RM3.50 bagi perjalanan tiga kilometer pertama berbanding RM4 bagi jarak sama bermula 16 Januari lalu.



“Kami tak terima sebarang notis, tiba-tiba sahaja kadar upah bayaran dikurangkan kepada RM3.50.

“Kami tak perlu bonus penghantaran atau apa-apa insentif. Kami hanya mahu kadar upah bayaran kembali kepada harga lantai iaitu RM4 untuk tiga kilometer pertama,” katanya selepas menghantar memorandum bantahan kadar upah bayaran kepada Syarikat Grab Malaysia di Aeon Falim di sini hari ini.

Khairul Akmal berkata, pengurangan upah bayaran itu bukan sahaja memberi kesan negatif kepada penunggang p-hailing, malah pelanggan juga turut terkesan.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak akan memberikan khidmat tambahan seperti menghantar makanan hingga di hadapan pintu rumah bagi pelanggan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di kawasan rumah pangsa dan sebagainya.



“Kami harap pihak Grab dapat mengkaji semula dan menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat kerana ia menjejaskan banyak pihak terutamanya penghantar makanan sepenuh masa.

“Bagi penghantar makanan separa masa mungkin tidak terkesan sangat kerana mereka ada kerja lain tapi kami yang bekerja sepenuh masa memang sangat terkesan,” katanya.

Menurutnya, jika pihak Grab tidak mempertimbangkan semula keputusan tersebut, mungkin mereka akan mencari peluang pekerjaan lain atau tetap meneruskan tetapi tidak akan memberikan khidmat yang baik.

Katanya, rata-rata penunggang p-hailing ini sudah berusia 40 tahun keatas dan sukar untuk mereka mencari peluang pekerjaan tetap.



“Tambahan pula dengan ekonomi yang sekarang memang agak susah. Jadi, kami akan meneruskan cuma untuk servis kami tak akan buat secara berlebihan.

“Sebagai contoh, kami akan pergi sehingga ke titik poin yang ditetapkan sahaja. Jika tiada orang di kawasan tersebut, kami akan tinggalkan makanan itu di situ juga. Kami tidak akan memastikan makanan tersebut sampai ke tangan pelanggan,” katanya.

Sumber – UTUSAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading