Polis tahan 2 lelaki cuba seludup minyak masak, gula
Polis tahan 2 lelaki cuba seludup minyak masak, gula
TANAH MERAH: Cubaan dua lelaki menyeludup minyak masak bersubsidi dan gula putih ke negara jiran gagal selepas mereka ditahan polis di kawasan Kampung Batu Gajah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 9 malam dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, mereka ditahan kereta kereta peronda polis (MPV) yang membuat rondaan mendapati sebuah kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta, menjumpai 30 kotak minyak masak dianggarkan 510 kilogram (kg) dan gula putih anggaran berat 720 kg disyaki cuba diseludup ke Thailand.
“Dua lelaki itu, kenderaan dan barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.