Polis jejak anak ‘sumbang mahram’ Port Dickson

Oleh – Syeikh Baran


Polis jejak anak ‘sumbang mahram’ Port Dickson
SEPASANG suami isteri direman di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan berhubung kes rogol membabitkan anak sendiri sejak lapan tahun lalu. – GAMBAR HIASAN

Seorang lelaki bernafsu binatang tergamak melakukan perbuatan keji apabila merogol zuriat sendiri sejak lapan tahun lalu hingga mangsa melahirkan dua anak dalam kejadian di sebuah rumah di sini.

Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang kini berusia 20 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson selepas dinasihatkan oleh ahli keluarga terdekatnya yang mengesyaki sesuatu telah berlaku kepadanya.



Laporan itu dibuat pada pukul 11.11 malam 1 Mei lalu.

Lebih keji apabila ibunya tidak berbuat apa-apa walaupun telah diberitahu oleh mangsa membuatkan suspek semakin galak melakukan sumbang mahram tersebut.

Salah seorang anak yang dilahirkan meninggal dunia, manakala seorang lagi anak perempuan kini berusia tiga tahun.

Difahamkan, mangsa bersekolah sehingga tingkatan lima dan tinggal bersama ibu dan bapanya di rumah tersebut. Ba­panya pernah ditangkap atas kes dadah pada 28 April lalu.



Mangsa membuat laporan selepas dinasihatkan oleh salah seorang ahli keluarganya yang mengesyaki sesuatu berlaku kepadanya ekoran mangsa seorang pendiam dan tidak ceria ketika ditemui.

Polis masih mengesan jejak anak perempuan mangsa tersebut ekoran ia telah diserahkan kepada pihak ketiga.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa mula dirogol pada 2016 iaitu ­sejak dia berusia 12 tahun sehingga tahun ini.

“Perbuatan terkutuk suspek berusia 40-an itu terbongkar selepas lapan tahun apabila ­mangsa yang kini berusia 20 tahun membuat laporan polis.



“Mangsa memaklumkan te­lah dirogol oleh bapa kandung­nya. Kejadian itu pernah di­ceritakan kepada ibunya, namun tidak diendahkan walaupun dia telah melahirkan dua anak,” katanya di sini semalam.

Menurut Aidi Sham, kejadian rogol itu berlaku di dalam bilik rumah mereka di daerah ini.

Tambahnya, susulan laporan itu, pihaknya telah menahan pasangan itu yang berusia dalam lingkungan 40-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada pukul 11.40 pagi Jumaat lalu.

“Suspek lelaki yang merupakan bapa kandung mangsa mengambil upah kerja kampung,” katanya.



Jelas beliau, hasil semakan rekod lampau mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan ditahan reman selama lima hari hingga Rabu ini. Mangsa kini mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading