Petani protes, sekat lebuh raya di Perancis

Oleh – Syeikh Baran


Petani protes, sekat lebuh raya di Perancis
KUMPULAN petani mogok melonggokkan tayar lama untuk menyekat lebuh raya di Vesoul, timur Perancis.-AFP

Kumpulan petani Perancis melakukan protes besar-besaran  menyekat lebuh raya dan membuang peti hasil import mereka bagi menuntut tindakan segera kerajaan ke atas harga hasil ladang yang rendah, peraturan hijau dan dasar perdagangan bebas di negara itu.

Protes yang masuk minggu kedua selepas meletus di barat daya dijangka berterusan sehingga tuntutan mereka dipenuhi, sekali gus menimbulkan cabaran besar pertama untuk Perdana Menteri baharu, Gabriel Attal.



“Semua kemungkinan masih di atas meja,” kata Ketua Kesatuan Peladang Muda, Arnaud Gaillot kepada wartawan apabila ditanya mengenai laporan kumpulan tersebut merancang meluaskan protes dan mengganggu lalu lintas di Paris.

Menurut akhbar Le Parisien dan BFM TV, perkhidmatan perisikan Perancis sudah memberi amaran kepada kerajaan bahawa kesatuan petani serantau menyeru anggota mereka untuk berkumpul di ibu negara.

Ketika Attal bermesyuarat dengan menteri kanan berhubung cadangan konkrit terhadap isu itu, petani-petani dilihat  menggunakan jerami dan traktor untuk menyekat lebuh raya utama di seluruh Perancis yang menjadi pengeluar pertanian terbesar Kesatuan Eropah (EU).

“Kami sentiasa diminta mematuhi pelbagai peraturan dan permintaan tetapi kami memperoleh pendapatan yang semakin berkurangan. Kami tidak boleh lagi menampung kehidupan dengan kerja kami,” kata petani dari kesatuan Calvados Coordination Rurale, Jean-Jacques Pesquerel, 61.



Peti tomato, kubis dan bunga kobis yang diimport dilihat berselerak di lebuh raya A7 yang menghubungkan Marseille dan Lyon, bandar kedua dan ketiga terbesar di Perancis. 

Di pinggir barat daya Paris, berpuluh-puluh traktor memandu dengan  perlahan semasa waktu pagi yang sibuk.

Ditanya bila penunjuk perasaan akan mengangkat sekatan jalan raya, Gaillot sebaliknya meminta wartawan untuk bertanya kepada Attal.

“Attal yang memegang kunci jawapan kepada protes ini,”katanya. 



Rabu lalu, Kesatuan Peladang Perancis (FNSEA) menyerahkan kepada kerajaan senarai tuntutan mereka, termasuk penguatkuasaan undang-undang lebih baik yang direka untuk melindungi harga produk terus dari ladang.

Kesatuan itu juga menyeru agar pengecualian cukai diesel berterusan untuk kenderaan pertanian, pembayaran segera subsidi pertanian EU, jaminan pembayaran insurans yang berkaitan dengan kesihatan dan iklim serta bantuan segera untuk pembuat wain dan petani organik.

“Tindak balas segera diperlukan oleh kerajaan,” kata ketua FNSEA, Arnaud Rousseau.-REUTERS

Sumber – UTUSAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading