Tiket konsert FT Island licin dalam masa dua hari

Oleh – Syeikh Baran


Tiket konsert FT Island licin dalam masa dua hari
FT Island masih mampu memikat biarpun sudah enam tahun tidak berkunjung ke Malaysia. – Foto AGENSI

Selepas enam tahun tidak berkunjung ke Malaysia, nyata kumpulan legenda K-Pop, FT Island masih berbisa apabila tiket konsert licin disapu bersih dalam masa dua hari.

Konsert 2024 FTISLAND Live Hey Day In Kuala Lumpur bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Februari depan.



Dianggotai Lee Hong Gi, Choi Min Hwan dan Lee Jai Jin, trio berkenaan dan tidak sabar menghiburkan peminat di Malaysia termasuk kelab peminat, Primadonnas.

“Kami tidak menyangka selepas sekian lama tidak berkunjung ke Malaysia tetapi masih mampu memikat hati peminat FT Island di Malaysia.

“Kami gembira atas sokongan ditunjukkan dan sangat menghargainya.

“Ini adalah satu peluang yang jarang berlaku apabila dapat menemui peminat selepas enam tahun. Perasaan ini cukup istimewa buat kami,” kata kumpulan itu pada sesi sidang media secara virtual, baru-baru ini.



Pada sesi sidang media itu, FT Island turut memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat berkunjung ke Malaysia dengan lebih kerap.

Malah, FT Island berjanji lebih banyak berinteraksi dengan peminat sebagai membalas kesabaran menantikan kehadiran FT Island.

“Kami sering memikirkan mengenai peminat di Malaysia.

“Selain ingin peminat menikmati muzik, FT Island juga akan cuba meluangkan lebih banyak masa untuk berinteraksi dengan peminat,” kata Min Hwan.



Tiket konsert FT Island licin dalam masa dua hari
Konsert 2024 FTISLAND Live Hey Day In Kuala Lumpur bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Februari depan. – Foto AGENSI

Tambahnya lagi, mereka juga akan membawakan segmen dram solo yang akan dipersembahkan secara eksklusif khas untuk peminat.

Sementara itu, vokalisnya, Hong Gi secara berseloroh meminta agar Primadonnas menghafal lagu sebelum datang ke konsert terutama album mini kesembilan, Sage.

Ini kerana, katanya, FT Island mahu konsert berkenaan menjadi satu malam yang sarat dengan kegembiraan dan meninggalkan kenangan manis buat peminat.

Hong Gi berkata, mereka akan sentiasa berusaha mencari lebih banyak lagu yang boleh menonjolkan personaliti.



Seiring waktu, kumpulan yang sudah bertapak dalam dunia muzik sejak 16 tahun lalu itu mengakui banyak perubahan yang dilakukan sepanjang tempoh itu.

Pada sesi sidang media itu, FT Island turut memaklumkan perancangan untuk terus melancarkan kandungan baharu menerusi saluran YouTube dan bersiap sedia untuk album penuh dan rangka konsert.

Sebelum mengakhiri sesi temubual itu, FT Island sempat meminta peminat memakai pakaian berwarna kuning dan hitam sebagai tanda sokongan kepada kumpulan berkenaan.

Konsert 2024 FTISLAND Live Hey Day di Kuala Lumpur dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd.



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading