Transformasi luar biasa Song Kang

Oleh – Syeikh Baran


Transformasi luar biasa Song Kang
Song Kang berdepan beberapa cabaran bagi memastikan watak dibawa lebih matang dan mempunyai kelainan. – Foto IG Song Kang

Selepas tampil dengan gaya lakonan memukau menerusi K-Drama popular, Sweet Home musim pertama, tunjang utamanya, Song Kang kembali menggalas peranan sama untuk musim kedua yang sudah disiarkan di platform penstriman, Netflix.

Dengan mengetengahkan jalan cerita secara ‘full-fledged apocalyptic’ yang memaparkan serangan raksasa di kawasan penduduk setempat, Sweet Home musim kedua turut memaparkan dunia keinginan menjadi lebih dahsyat.



Sebagai kesinambungan, drama arahan bersama Lee Eung Bok dan Park So Hyeon itu mengikuti mangsa Green Home yang terselamat. Hyun Su lakonan Kang bersama rakan-rakannya berjuang bertahan di tempat baharu, bagaimanapun terdapat makhluk lain serta fenomena misteri muncul.

Melihatkan jalan cerita lebih kompleks dengan penerapan pelbagai elemen baharu, Kang mengaku berdepan cabaran, namun tetap seronok masih berpeluang untuk terbabit dalam naskhah itu.

Bagi Kang, 29, dia teruja dapat kembali untuk musim baharu dan bergandingan bersama pelakon hebat lain, namun tidak menolak berdepan beberapa cabaran apabila perlu memastikan watak dibawa lebih matang dan mempunyai kelainan daripada musim terdahulu.

“Saya sangat teruja bekerjasama bersama pelakon berpengalaman dan bersatu semula dengan mereka yang bekerja dengan saya pada musim pertama.



“Saya banyak memikirkan bagaimana menggambarkan watak Cha Hyun Su menjadi lebih matang dalam musim kedua, jadi saya harap penonton dapat terus menonton untuk mengetahui sejauh mana watak ini berkembang.

“Watak saya melalui fasa membesar daripada musim terdahulu dan menjadi lebih matang. Saya banyak berfikir bagaimana mahu menggambarkan watak Hyun Su menjadi lebih matang pada musim kedua.

“Saya memikirkan pelbagai idea semasa menonton musim pertama di mana Hyun Su seperti kanak-kanak kecil. Saya cuba mencari nada suara dan tingkah laku betul untuk menunjukkan lebih matang,” katanya,

Transformasi luar biasa Song Kang
Song Kang tidak berdepan masalah menggambarkan emosi watak Hyun Su yang tiada beza daripada drama Sweet Home musim pertama. – Foto IG Song Kang

Bagaimanapun, Kang yang memulakan karier lakonan menerusi drama The Liar And His Lover pada 2017 berkata, dia tidak berdepan masalah untuk menggambarkan emosi Hyun Su yang tiada beza daripada drama Sweet Home musim pertama.



“Saya rasa emosinya tetap sama. Dia mempunyai rasa keadilan yang tinggi, percaya bahawa perlu melindungi semua orang. Tetapi, kini lebih matang selepas melalui begitu banyak perkara.

“Jadi, saya menumpukan perhatian untuk menambah kedalaman rasa keadilan yang dirasakan. Saya mengandaikan emosinya akan menjadi lebih mendalam kerana jumlah kesakitan yang dialami selepas musim pertama.

“Saya sentiasa mengimpikan berlakon dalam genre ini. Saya bertuah dapat memenuhi impian lebih awal melalui drama Sweet Home.

“Ia terasa seperti langkah pertama kepada saya dan sentiasa bersyukur semasa penggambaran,” katanya.



Sweet Home musim kedua menjanjikan konflik lebih hebat dengan jalan cerita diperluaskan termasuk aksi lebih menarik dan misteri mendalam seputar serangan raksasa di Green Home.

Raksasa musim terbaharu ini dikelaskan kepada Hijau, Kuning dan Merah bergantung kepada tahap agresifnya. Terdapat juga kumpulan raksasa lahir daripada ‘special infectee’ yang menganggap diri lebih hebat.

Rentetan musim pertama, Hyun Su, Sang Wook dan Yi Kyung meninggalkan Green Home untuk membentuk hubungan dengan watak lain daripada pegawai kerajaan dan penyelidik raksasa daripada Biro

Pengurusan Bencana Bamseom kepada Crow Platoon iaitu unit yang didedikasikan untuk mengendalikan raksasa.



Sweet Home yang juga siri genre K-Creature ikonik di Korea Selatan boleh dikatakan berdasarkan realiti dengan mengambil inspirasi daripada keadaan dunia ketika dilanda wabak pandemik COVID-19.

Diterbitkan Studio Dragon dengan kerjasama Studio N dan Siwoo Company dijangka bersambung untuk musim ketiga pada tahun depan.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading