Jokowi jelaskan haknya berkempen untuk calon presiden

Oleh – Syeikh Baran


Jokowi jelaskan haknya berkempen untuk calon presiden
Presiden Indonesia, Joko Widodo. – Foto fail REUTERS

Presiden Indonesia, Joko Widodo, menjelaskan kenyataan berhubung haknya di bawah undang-undang untuk berkempen bagi calon pilihan raya, susulan kritikan netizen dan wakil calon presiden bahawa beliau ingin terus berkuasa.

Dalam kenyataan dimuat naik di YouTube sekretariat presiden Jumaat lalu, Widodo atau dikenali sebagai Jokowi berkata kenyataannya itu tidak sepatutnya diambil di luar konteks.



“Jangan tafsir lain. Saya hanya menyampaikan peruntukan undang-undang, kerana saya diminta,” katanya.

Jokowi berkata, kenyataan itu dibuat sebagai menjawab soalan wartawan pada Rabu lalu mengenai menteri Kabinet yang mengambil bahagian dalam aktiviti kempen pilihan raya.

Memetik laporan The Straits Times, Jokowi berkata dalam jawapan itu beliau menjelaskan memegang jawatan awam tidak menyekatnya daripada berkempen untuk mana-mana calon pilihan raya.

Dalam video itu, beliau mengangkat sekeping kertas besar yang menunjukkan bagaimana presiden dan naib presiden dibenarkan menyertai kempen pilihan raya, mengikut undang-undang Indonesia.



Di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Indonesia, presiden, naib presiden dan pegawai negara yang lain dibenarkan terlibat dalam aktiviti kempen, tetapi dilarang menggunakan kemudahan kerajaan dan dikehendaki mengambil cuti apabila menyertai aktiviti berkenaan.

Rabu lalu, Jokowi menjadi tajuk utama apabila beliau berkata seorang presiden bebas menyokong mana-mana calon presiden, sebagai jawapan kepada soalan media.

Presiden juga berhak berkempen untuk calon pilihan pada masa lapangnya, dengan syarat tiada kemudahan kerajaan ketika berbuat demikian, kata Jokowi.

“Ya, presiden boleh menyertai kempen. Ya, seorang presiden boleh memilih calon. Semua itu dibenarkan selagi dia tidak menggunakan kemudahan kerajaan,” kata Jokowi kepada pemberita, sambil menambah bahawa presiden dan menteri mempunyai “hak demokrasi” yang sama seperti rakyat untuk menyokong calon pilihan mereka.



Kenyataan itu dibuat ketika Jokowi idodo berdiri di sebelah Menteri Pertahanan dan calon presiden, Prabowo Subianto selepas majlis penyerahan peralatan ketenteraan baharu di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.

Prabowo, bekas saingan Jokowi pada pilihan raya sebelum ini, kini bertanding dengan Gibran Rakabuming Raka, anak presiden yang juga Datuk Bandar Solo.

Calon presiden yang lain ialah bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan, yang bertanding bersama Muhaimin Iskandar, dan bekas gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo, yang bertanding dengan Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD.

Lebih 200 juta pengundi yang layak akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 14 Februari ini.



Sebahagian besar reaksi terhadap sentimen Jokowi daripada pesaing Prabowo adalah negatif. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading