Farha gambaran penderitaan gadis Palestin

Oleh – Syeikh Baran


Farha gambaran penderitaan gadis Palestin
Karam Taher melakonkan watak Farha dengan penuh emosi.

Farha ditayangkan di platform penstriman, Netflix arahan sutradara dari Jordan, Darin J Sallam itu menceritakan kisah peperangan antara tentera Israel dan Palestin melalui perspektif gadis berusia 14 tahun yang mendiami sebuah perkampungan kecil di Palestin pada 1948.

Jalan cerita diketengahkan mengundang kemarahan rakyat Israel, malah turut dilaporkan, kerajaan negara terbabit mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem Farha kerana disifatkan sebagai penyelewengan fakta dan memberi gambaran buruk kepada mereka.



Bagaimanapun, menurut pakar, filem dihasilkan syarikat produksi, TaleBox, Laika Film & Television dan Chimney itu membantu membawa perspektif Palestin kepada khalayak yang lebih luas termasuk negara-negara Barat, selain mampu memberi gambaran sebenar mengenai naratif sejarah Palestin.

Apa yang ingin dipertontonkan menerusi filem berkenaan adalah gambaran peristiwa mengerikan dihadapi rakyat Palestin, disebut sebagai ‘Nakba’ atau ‘malapetaka’ yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam dilakukan rejim Israel.

Farha gambaran penderitaan gadis Palestin
Darin J Sallam menceritakan kisah peperangan antara tentera Israel dan Palestin melalui perspektif gadis berusia 14 tahun yang mendiami sebuah perkampungan kecil di Palestin pada 1948.

Ini termasuk siri pembunuhan beramai-ramai yang dikatakan oleh sejarawan dilakukan tentera Israel yang mengarahkan pemindahan secara paksa ke atas 750,000 rakyat Palestin untuk beredar dari tanah air mereka sendiri.

Memetik laporan The Washington Post, Sallam berkata, tujuan utama dalam penghasilan filem Farha untuk membantu memberi gambaran sebenar mengenai nasib rakyat Palestin yang berdepan penindasan sejak lebih 70 tahun lalu.



“Saya menghasilkan filem ini kerana mahu dunia melihat rakyat Palestin sebagai manusia. Farha hanya seorang gadis muda. Dia tidak memilih jalan hidup seperti ini.

“Dia kehilangan zaman kanak-kanaknya. Farha mewakili rakyat Palestin yang terpaksa meneruskan hidup dengan semua kesakitan dan kerugian,” kata Sallam dalam satu sesi temu bual.

Sallam berkata, filem itu sebahagiannya berdasarkan cerita disampaikan kepada ibunya oleh wanita Palestin bernama Radieh yang terselamat dalam peperangan selepas bapanya mengurungnya dalam bilik.

Menurut ibu Sallam yang bertemu Radieh selepas melarikan diri ke Syria, bapa wanita itu berjanji untuk kembali, tetapi pada akhirnya tidak muncul buat selamanya, dipercayai terbunuh dalam peperangan.



Farha juga menyatukan pelbagai kisah ‘Nakba’ yang didengari Sallam sepanjang hidupnya, termasuk dari ahli keluarga sendiri.

Katanya, ibu bapanya melarikan diri ke Jordan selepas mendengar laporan keganasan di kampung berhampiran.

Menerusi laporan The Washington Post, Sallam turut berkongsi bahawa dia ada menerima mesej daripada rakyat Palestin yang mengatakan mereka menonton filem Farha bersama keluarga dan saudara-mara dalam kalangan warga emas.

“Seorang gadis berkata kepada saya bahawa datuknya sangat emosional, menangis dan semua orang mula bercakap mengenai perkara yang berlaku kepada mereka.



“Ia seperti terapi, seperti penyembuhan dan bagi saya, ini menakjubkan. Yang tua akan mati, tetapi yang muda akan ingat dengan filem seperti ini.

“Saya berharap filem ini kekal selama-lamanya dan berada dalam hati orang ramai,” kata Sallam.

Sallam sememangnya tidak asing dalam industri perfileman apabila pernah menerima anugerah di peringkat antarabangsa menerusi filem pendek dihasilkannya seperti Still Alive pada 2008, The Dark Outside (2014), The Parrot (2016) dan Farha (2021).

Sallam yang juga pemegang Ijazah Sarjana Seni Halus dari Red Sea Institute of Cinematic Arts (RSICA) mula menulis mengenai filem Farha pada 2016, tetapi menghadapi pelbagai tentangan hebat, termasuk amaran bahawa karya itu akan menamatkan kerjayanya.



Antara barisan pelakon filem Farha adalah Karam Taher yang memegang peranan watak Farha, Ashraf Barhom (Abu Farha), Ali Suliman (Abu Walid), Tala Gammoh (Farida), Sameera Elasir (Um Mohammad), Majd Eid (Abu Mohammad) dan Firas Taybeh (Abu Farida).

Farha ditayangkan buat kali pertama di Festival Filem Toronto pada 14 September 2021 sebelum memasuki Netflix pada 1 Disember 2022.

Antara pencapaian membanggakan diraih filem Farha pada Anugerah Skrin Asia Pasifik 2022 bagi kategori Filem Cereka Belia Terbaik.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button