Rugi RM776,000 ditipu pelaburan kripto

Oleh – Syeikh Baran


Rugi RM776,000 ditipu pelaburan kripto
Foto Hiasan

Seorang akauntan di daerah ini kerugian RM776,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di media sosial.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 49 tahun terlihat satu pelaburan di Facebook pada Oktober lalu yang mana menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.



Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pelaburan itu, mangsa berurusan dengan empat individu berlainan menerusi WhatsApp.

“Urusan itu antara lain untuk menyertai selain tawaran bakal diberikan kepada mangsa jika berminat membuat pelaburan jual beli mata wang kripto.

“Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi dikenali ‘Accerx Malaysia’.

“Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan juga maklumat akaun bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Ismail berkata sebaik selesai urusan, mangsa memasukkan wang berjumlah RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat.

Menurutnya, mangsa membuat semakan dalam akaun aplikasi ‘Accerx Malaysia’ mendapati terdapat keuntungan diperolehi.

“Namun mangsa diminta membuat bayaran sebanyak satu peratus daripada keuntungan itu sekiranya mahu mendapatkan wang terbabit.

“Selepas gagal membuat bayaran seperti diarahkan, akaun pelaburan mangsa disekat. Sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada keuntungan itu.



“Mangsa berasa tertipu lalu membuat laporan polis pada 21 Januari lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button