Bekas calon PM Thailand dipenjara empat bulan

Oleh – Syeikh Baran


Bekas calon PM Thailand dipenjara empat bulan
Gambar fail menunjukan pemimpin Parti Future Forward, Thanathorn Juangroongruangkit (tengah) dan Pita Limjaroenrat (dua kanan) melambai kepada penyokong mereka pada perhimpunan di Bangkok pada 14 Disember 2019. – Foto AFP

Mahkamah di Thailand, hari ini, menjatuhkan hukuman yang tertangguh sebelum ini ke atas bekas calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat dan tujuh tokoh politik lain kerana mengadakan perhimpunan haram pada 2019.

Perkembangan itu sekali gus menambah lagi masalah undang-undang yang dihadapi parti pembangkang, Parti Move Forward (MFP) selepas Mahkamah Perlembagaan sebelumnya memutuskan parti berkenaan menjejaskan monarki dan keselamatan negara di tengah-tengah kempennya untuk meminda undang-undang yang melindungi monarki daripada kritikan.



Mahkamah Daerah Pathumwan di sini, menjatuhkan hukuman penjara empat bulan, yang ditangguhkan selama dua tahun dan denda 11,200 baht kepada enam tokoh utama Parti Future Forward yang kini tidak lagi berfungsi selain MFP serta dua lagi aktivis, kata peguam mereka, Krisadang Nutcharus.

Tuduhan itu adalah berhubung protes dipimpin mereka, yang disertai ribuan penyokong pada Disember 2019 di ibu negara Thailand berkenaan.

Nutcharus berkata lapan yang dijatuhkan hukuman termasuk eksekutif perniagaan, Thanathorn Juangroongruangkit dan Ahli Parlimen, Piyabutr Saengkanokkul, semuanya merancang untuk merayu keputusan berkenaan.

Pita boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika rayuannya gagal dan mahkamah mengekalkan keputusan itu.

Undang-undang Thailand tidak membenarkan orang yang disabitkan dengan jenayah berat untuk memegang kerusi Parlimen.



MFP kini berdepan kemungkinan pembubaran dan eksekutifnya dilarang daripada terbabit dalam politik selepas peguam dan penentang melancarkan lebih banyak cabaran undang-undang susulan keputusan mahkamah perlembagaan.

MFP ialah parti terbesar di Parlimen selepas kemenangan mengejutnya pada pilihan raya tahun lalu atas platform anti pemerintah termasuk membatalkan monopoli perniagaan dan mengekang pengaruh politik tentera yang berakar umbi.

Agenda liberal parti dan tarikan besar dalam kalangan pengundi muda serta bandar menunjukkan ancaman kepada status quo di Thailand dan percubaannya untuk membentuk kerajaan tahun lalu disekat oleh senat yang dilantik, selari dengan pemerintahan pro tentera konservatif diraja. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading