‘Soli…soli…soli’

Oleh – Syeikh Baran


‘Soli…soli…soli’
Tertuduh, Ser Ying ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

‘Soli…soli…soli (sorry).’

Demikian ucapan maaf yang diulang berkali-kali oleh pembonceng wanita yang melempar pasir dan menendang pengguna Jambatan Pulau Pinang ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini.



Tertuduh, Ong Ser Ying, 37, dan suaminya, Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Pasangan itu didakwa menakutkan dua lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 2.8, Jambatan Pertama Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai, kira-kira pukul 5 petang, 5 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari mencadangkan hukuman yang bersesuaian kerana perbuatan pasangan tersebut mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.



Bagaimanapun, mereka yang merupakan peniaga makanan memohon hukuman denda yang minimum sebelum mahkamah menetapkan denda masing-masing RM2,500 dan penjara enam bulan jika gagal bayar.

Sementara itu, Muhammad Hafiz didakwa di mahkamah berasingan atas kesalahan trafik mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini tular video memaparkan pasangan suami isteri menunggang motosikal secara berbahaya di atas Jambatan Pulau Pinang.

Video berdurasi tujuh minit satu saat itu menunjukkan mereka cuba menendang dan membaling objek dipercayai pasir ke arah pengguna jambatan yang memotong mereka.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button