Matip hidupkan semula peluang Liverpool

LIVERPOOL: Tandukan minit ke-89 Joel Matip memberikan Liverpool kemenangan 2-1 ke atas Ajax dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.

Skuad kendalian Jurgen Klopp hanya menang dua daripada tujuh perlawanan mereka musim ini, dan tewas 4-1 kepada Napoli pada perlawanan pertama kumpulan.

Naib juara musim lalu itu tampil lebih meyakinkan di laman sendiri kali ini, tetapi terpaksa menunggu hingga ke minit terakhir untuk mendapatkan kemenangan.



Sebelum itu jaringan pembukaan Liverpool menerusi Mohamed Salah diimbangi oleh gol Mohammed Kudus untuk Ajax.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool pada tiga mata bersama Ajax dan Napoli, yang akan bertandang ke laman Rangers hari ini.

“Jika anda bandingkan dua perlawanan ini, saya rasa anda tidak akan sedar yang sebenarnya ia skuad yang sama,” kata Klopp.

Pemain Portugal, Diogo Jota yang menggantikan Darwin Nunez dalam kesebelasan utama, mengumpan bola untuk jaringan pertama Salah selepas empat perlawanan.



Bagaimanapun kelekaan benteng Liverpool sekali lagi menjadi punca lawan mendapat jaringan apabila Kudus menyempurnakan hantaran lintang Steven Berghuis.

Matip memastikan kemenangan apabila dia menanduk masuk bola sepakan sudut Kostas Tsimikas pada minit terakhir permainan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button