Geng Alif samun tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Geng Alif samun tumpas
Antara barang yang dirampas dalam serbuan Geng Alif di sekitar ibu kota dan Rawang, kira-kira pukul 4.10 pagi tadi.

Geng Alif yang didalangi tiga lelaki terlibat dalam kes samun di ladang ternakan ayam di Jalan SKC, Kampung Timah, Bukit Beruntung, di sini, ditumpaskan polis, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia 29 hingga 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.10 pagi selepas melakukan kegiatan samun pada awal bulan ini.



Ujarnya, ketiga-tiga suspek diberkas dalam serbuan di beberapa lokasi berbeza sekitar ibu kota dan Rawang oleh sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

“Beberapa barang peribadi, topi keledar, tiga buah motosikal, sepucuk pistol angin dan dua buah telefon pintar antara yang dirampas dalam tangkapan itu.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Ujian air kencing pula mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan methampthetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Menurut Mohd. Asri, suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 12 Mac untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button