Ribuan Obor-obor Tomato ditemukan terdampar di pantai

Oleh – Syeikh Baran


Ribuan Obor-obor Tomato ditemukan terdampar di pantai
Ribuan Obor-Obor Tomato ditemukan terdampar di pantai Kampung Jangkit. – Foto ihsan Jabatan Perikanan Sabah

Ribuan obor-obor berwarna kemerah-merahan ditemukan terdampar di pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu, kira-kira 130 kilometer dari sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kasim, berkata kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan kenaikan suhu air laut berikutan cuaca panas dan kering di Sabah ketika ini.

Katanya, obor-obor terbabit dikenal pasti sebagai Obor-Obor Tomato atau nama saintifiknya Lobonemoides robustus yang berwarna kemerah-merahan.



Beliau menjelaskan, spesies obor-obor itu tidak berbisa dan tidak berbahaya tetapi boleh menyebabkan gatal pada badan jika tersentuh atau terkena kulit.

“Jabatan Perikanan Sabah sudah menghantar anggota dari Pejabat Perikanan Kuala Penyu ke kawasan kejadian untuk memantau serta menyiasat obor-obor yang terdampar dalam jumlah luar biasa dan padat, hari ini.

“Lokasi ia terdampar membabitkan sepanjang kira-kira tiga kilometer di pesisir pantai Kampung Jangkit.

“Menurut penduduk, kejadian obor-obor terdampar dalam jumlah begitu banyak itu kali pertama berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.



Azhar berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, kepadatan populasi obor-obor yang luar biasa itu mungkin disebabkan peningkatan kadar pembiakan obor-obor berikutan kenaikan suhu air laut.

“Ia juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil dan anak ikan di kawasan perairan terbabit.

“Kejadian turut dipengaruhi faktor air pasang dan surut mendadak sehingga menyebabkan obor-obor terperangkap serta terdampar di pantai,” katanya.

Justeru, Azhar berkata, orang ramai tidak perlu risau mengenai kemunculan obor-obor itu kerana ia adalah jenis hidupan marin yang mudah mati dan hancur.



“Ia hanya mengakibatkan bau tidak selesa tetapi cepat hilang dalam tempoh satu hingga dua hari. Namun, orang ramai dinasihatkan tidak mandi laut di perairan yang banyak obor-obor,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button