Duta, pesuruhjaya tinggi Malaysia perlu mahir pelaburan, perdagangan

Oleh – Syeikh Baran


Duta, pesuruhjaya tinggi Malaysia perlu mahir pelaburan, perdagangan
(Gambar fail) Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mahu perwakilan ke luar negara meliputi duta besar serta pesuruhjaya tinggi Malaysia, mahir dalam aspek perdagangan bagi membawa masuk pelaburan ke Malaysia.

Selain aspek hubungan baik dua hala dengan negara lain, beliau berkata, kemahiran dalam meneroka serta menarik pelaburan dan perdagangan juga adalah penting bagi memacu ekonomi Malaysia.



“Dasar luar negara bukan saja mengamalkan prosedur operasi standard biasa, iaitu mewujud dan mengekalkan demokrasi dua hala, malah saya mahu Kementerian Luar, duta serta pesuruhjaya tinggi mahir dalam perdagangan… menarik sebanyak mungkin pelabur ke Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Ramadan sempena Nuzul al-Quran, anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan, serta Pertiwi Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau merangkap Yang Dipertua NSWO, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Pada majlis dihadiri 155 peserta itu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar dan anak yatim.

Di samping peranan menarik pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohamad menjelaskan adalah lebih afdal untuk mereka sebagai ketua kedutaan, boleh bercakap serta meyakinkan pelabur.



Justeru, katanya, duta baharu hendak bertugas perlu ditempatkan di MIDA terlebih dahulu supaya arif mengenai persekitaran pelaburan dan dapat meyakinkan bakal pelabur ke Malaysia. – BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button