Sufian Suhaimi tak jadi kahwin

 

Oleh Pena Merah

Sufian Suhaimi tak jadi kahwin
Sufian menafikan tanggapan nakal sesetengah pihak kisah cinta dengan Rania sekadar kandungan untuk kekal relevan dalam industri.

Hasrat penyanyi Sufian Suhaimi untuk mendirikan rumah tangga terkubur lagi apabila mengesahkan hubungan cinta dengan gadis bernama Rania Al Sadat sudah terlerai, bulan lalu.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi, sebaliknya Sufian, 32, memaklumkan keputusan berpisah dibuat secara bersama dan terima takdir dengan reda.



“Kami masih berkawan baik. Cuma, ikatan merisik sudah terlerai dan terima perkara ini dengan hati terbuka serta tiada dendam.

“Saya dan Rania masih berjumpa serta bercakap selepas buat keputusan. Cuma, kami kenalah hormati status dan beri ruang kepada diri masing-masing bila lepas pulangkan cincin merisik.

“Keputusan ini juga dibuat secara bersama, tak ada gaduh. Kalau ikutkan kami rancang bernikah tahun lalu, cuma ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan,” katanya.

Sufian berkata, mereka berpendapat perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main ataupun terburu-buru.



“Bukan nak cakap keputusan berkahwin dibuat secara tergesa-gesa, tetapi semakin dekat dengan tarikh nikah, kami berbincang mengenai kehidupan masing-masing.

“Selepas berbincang dan tahu hala tuju, kami memutuskan tidak meneruskan hubungan ini,” katanya ditemui pada majlis Iftar Raya 2024 Bersama Artis Rusa Music & MVM Production yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Penyanyi Di Matamu itu berkata, dia bersyukur apa yang berlaku ketika mereka masih dalam fasa merisik dan bukannya selepas bertunang ataupun mendirikan rumah tangga.

“Inilah sebenarnya hikmah di sebalik adat yang dilaksanakan. Kita merisik bukan bermaksud bernikah.



“Merisik adalah fasa saling mengenali. Saya bersyukur dapat mengenali dirinya. Dia sangat baik dan begitu juga dengan keluarganya.

“Malah, ibu bapanya juga baik dengan keluarga saya. Kami juga saling mengharapkan kebahagiaan, tapi jodoh di tangan Tuhan,” luah jejaka berkaca mata ini.

Sufian menghantar rombongan merisik Rania dalam satu majlis tertutup pada Oktober tahun lalu.
Sufian menghantar rombongan merisik Rania dalam satu majlis tertutup pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Sufian menafikan tanggapan nakal sesetengah pihak yang mendakwa kisah cintanya dengan wanita itu sekadar kandungan untuk kekal relevan dalam industri.

“Sampai hati cakap seperti itu. Siapa cakap percintaan saya ini konten semata-mata, tak baiklah.



“Mana ada orang nak memperdagangkan cinta terutama saya yang tak suka berkongsi masalah peribadi.

“Jauh sangat untuk saya gunakan kisah cinta ini sebagai gimik atau teknik pemasaran atau cara kekal relevan dalam industri. Tak pernah terlintas dan takkan buat,” tegas Sufian.

Meskipun sudah beberapa kali kecundang dalam percintaan, namun Sufian tidak pernah menganggap dirinya lelaki yang gagal atau bernasib malang dalam percintaan.

“Saya rasa benda ini berlaku pada semua orang. Malah, ada yang banyak kali putus cinta berbanding saya.



“Saya rasa itu adalah normal dan ia juga adalah sebahagian perjalanan yang perlu dilalui dalam mencari pasangan hidup.

“Akan ada proses berkenalan, proses menyesuaikan diri dan kalau rasa tak sesuai, cari titik tengah apa yang terbaik untuk kedua-dua pihak. Dan inilah yang berlaku pada kami.

“Apapun, saya tak pernah serik untuk kembali bercinta,” ungkap Sufian.

Spekulasi mengatakan Sufian sudah putus cinta dengan Rania timbul apabila mereka tidak lagi mengikuti antara satu sama lain dalam Instagram.



Pada Januari lalu, Sufian berkongsi berita gembira apabila mengesahkan pihaknya menghantar rombongan merisik kepada keluarga Rania dalam satu majlis tertutup pada Oktober tahun lalu. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button