Gempa bumi Taiwan: 9 terkorban, 900 cedera

Oleh – Syeikh Baran


Gempa bumi Taiwan: 9 terkorban, 900 cedera
Anggota penyelamat menjalankan misi mencari dan menyelamat di sebuah bangunan yang rosak di Hualien hari ini. – AFP

Gempa bumi terkuat di Taiwan dalam tempoh 25 tahun telah meragut nyawa sembilan orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 900 yang lain, serta menyebabkan bangunan runtuh, bekalan elektrik terputus dan tanah runtuh.

Akhbar The Guardian melaporkan, berpuluh-puluh orang dipercayai masih terperangkap di dalam bangunan dan menunggu untuk diselamatkan termasuk beberapa di dalam lombong arang batu.

Gempa berkekuatan 7.4 magnitud itu melanda kawasan berhampiran Hualien di pantai timur Taiwan, yang merupakan sebuah bandar popular dalam kalangan pelancong.

Beberapaa video yang dikongsikan di laman-laman media sosial menunjukkan kanak-kanak diselamatkan dari bangunan-bangunan yang runtuh.

Sebuah bangunan lima tingkat di Hualien turut kelihatan rosak teruk, dengan tingkat pertama runtuh dan sebahagian besar bangunan itu condong pada sudut 45 darjah.

Pengurusan Taman Negara Taroko di Hualien berkata, hampir 1,000 pelancong dan kakitangan terkandas di kawasan pergunungannya.

Media tempatan melaporkan bahawa tiga pendaki dan seorang jurupandu maut selepas dihempap batu yang runtuh di taman itu.

Sementara itu, Pusat Sains dan Teknologi (CST) Taiwan memberitahu, orang ramai dan kenderaan terperangkap di dalam terowong Dachingshui.

Laluan kereta api turut rosak, manakala sekolah serta tempat kerja ditutup di seluruh kawasan besar bandar. Puluhan ribu rumah pula tiada bekalan elektrik.

Dalam pada itu, di bahagian jauh ke utara, sebahagian daripada tanjung Pulau Guishan yang menjadi tarikan pelancong serta dikenali sebagai Pulau Penyu, tergelincir ke dalam laut.

Di bandar ibu kota Taipei, beberapa orang diselamatkan dari gudang yang sebahagiannya runtuh, selain Jubin turut jatuh dari bangunan. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker