Tinggal bersama 159 kucing dalam satu apartmen kecil

Oleh – Syeikh Baran


Tinggal bersama 159 kucing dalam satu apartmen kecil
Gambar Hiasan

Suami isteri Perancis, yang berkongsi pangsapuri mereka dengan hampir 160 kucing dan tujuh anjing dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama setahun dan larangan kekal memelihara haiwan peliharaan, pada 3 April lalu.

Mahkamah Jenayah Nice memutuskan pasangan itu bersalah atas kesalahan pengabaian memandangkan keadaan kesihatan haiwan berkenaan yang sangat teruk.



Pasangan itu juga diperintahkan membayar lebih 150,000 euro (kira-kira RM768,233) sebagai ganti rugi kepada persatuan kebajikan haiwan.

Pasangan itu tinggal bersama 159 kucing dan tujuh anjing di sebuah pangsapuri seluas 80 meter persegi di Nice.

Tahun lalu, pegawai polis bertindak selepas ada aduan daripada kejiranan yang mendapati puluhan haiwan mengalami dehidrasi, kekurangan zat makanan, diselaputi parasit dan luka, di setiap bilik di rumah pasangan itu.

Di dalam bilik mandi, penyiasat juga menemukan bangkai dua kucing dan dua anak anjing.



Pada akhir perbicaraan, pemilik haiwan iaitu wanita berusia 68 tahun memaklumkan tidak berniat untuk “berputus asa”.

Wanita itu menegaskan bahawa keadaan apartmen itu yang daif dan keadaan haiwannya itu adalah sementara.

Dia sedang mencari penyelesaian tetapi mendapati dirinya tidak berdaya kerana jangkitan yang menjejaskan kucing, dan gelombang panas yang menyebabkannya sakit.

Penilaian psikiatri mendedahkan keadaan mental tertuduh, yang dikenali sebagai sindrom Noah atau penimbunan haiwan, yang dicirikan oleh keinginan untuk mengekalkan bilangan haiwan yang lebih tinggi daripada biasa tanpa keupayaan untuk menjaga mereka dengan betul.



Wanita itu dan pasangannya yang berusia 52 tahun menghadapi prosiding pengusiran dan hutang sewa 8,000 euro (kira-kira RM40,979).

Pada 2014, pasangan itu menjadi subjek siasatan apabila mereka tinggal bersama 13 kucing dan seekor anjing di sebuah studio seluas 18 meter persegi.

Beberapa tahun kemudian, wanita itu mengambil kira-kira 30 kucing yang ditemukan di sebuah bangunan terbiar, selepas percaya bahawa ia berisiko diracun.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading