Mata wang paling kukuh 2024

Oleh – Syeikh Baran


Mata wang paling kukuh 2024
BANGUNAN pencakar langit di Bandaraya Kuwait. FOTO fail AFP

Singapura: Secara umum, dolar Amerika Syarikat (AS$) dilihat sebagai mata wang yang paling berkuasa di dunia. Ia adalah mata wang yang paling banyak didagangkan di peringkat global dengan margin yang luas.

Namun, ada mata wang lain yang lebih bernilai kerana nilainya lebih daripada satu dolar AS.



Berikut adalah senarai mata wang paling kukuh dunia, seperti dilaporkan Forbes. Kedudukan ini berdasarkan kadar tukaran wang pada 26 Mac 2024.

Dinar Kuwait (KWD)

Dinar Kuwait ialah mata wang terkuat di dunia dengan 1 dinar Kuwait dapat membeli AS$3.25. Dengan kata lain, AS$1 bersamaan dengan 0.307 dinar Kuwait.

Kuwait terletak di antara Arab Saudi dan Iraq, memperoleh sebahagian besar kekayaannya sebagai pengeksport minyak global terkemuka. Dinar Kuwait diperkenalkan pada 1960-an dan pada mulanya ditambat kepada Pound British sebelum ditambat semula kepada sekumpulan mata wang yang tidak didedahkan.



Dinar Bahrain (BHD)

Dinar Bahrain ialah mata wang kedua terkuat di dunia dengan 1 dinar Bahrain boleh membeli AS$2.65 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.376 dinar Bahrain).

Bahrain ialah sebuah negara kepulauan di Teluk Parsi di luar pantai Arab Saudi. Seperti Kuwait, negara ini memperoleh banyak kekayaan daripada eksport minyak dan gas. Dinar Bahrain memasuki edaran pada tahun 1965 dan ditambat kepada dolar AS.

Riyal Oman (OMR)



Riyal Oman ialah mata wang ketiga terkuat di dunia dengan 1 riyal Oman dapat membeli AS$2.59 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.38 riyal Oman).

Oman terletak di antara Emiriah Arab Bersatu dan Yaman di hujung Semenanjung Arab. Seperti negara jirannya yang kaya, Oman adalah pengeksport utama minyak dan gas. Riyal Oman diperkenalkan pada 1970-an dan ditambat kepada dolar AS.

Dinar Jordan (JOD)

Dinar Jordan ialah mata wang keempat terkuat di dunia dengan 1 dinar Jordan dapat membeli AS$1.41 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.709 dinar Jordan).



Jordan kurang bergantung kepada eksport minyak dan gas berbanding negara jirannya dan bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang lembap dan peningkatan hutang. Dinar Jordan memasuki edaran pada 1950 dan ditambat kepada dolar AS.

Paun British (GBP)

Paun British (di Malaysia, lebih dikenali sebagai pound sterling) ialah mata wang kelima terkuat di dunia dengan 1 paun British dapat membeli AS$1.26 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.79 paun British).

United Kingdom ialah negara keenam terbesar mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Bank Dunia. Paun pertama kali diperkenalkan pada 1400-an. Ia terapung bebas dan dengan itu tidak ditambat kepada mata wang lain.



Paun Gibraltar (GIP)

Paun Gibraltar ialah mata wang bersama kelima terkuat di dunia dengan 1 paun Gibraltar dapat membeli AS$1.26 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.79 paun Gibraltar).

Gibraltar terletak di hujung selatan Sepanyol dan secara rasminya adalah wilayah British. Paun Gibraltar mula diperkenalkan pada 1920-an dan ditambat kepada paun British.

Dolar Kepulauan Cayman (KYD)



Dolar Kepulauan Cayman ialah mata wang keenam terkuat di dunia dengan 1 dolar Kepulauan Cayman dapat membeli AS$1.21 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.82 dolar Kepulauan Cayman).

Kepulauan Cayman ialah wilayah British di Caribbean dan pusat kewangan luar pesisir. Dolar Kepulauan Cayman mula diperkenalkan pada 1970-an dan ditambat kepada dolar AS.

Franc Swiss (CHF)

Franc Switzerland ialah mata wang ketujuh terkuat di dunia dengan 1 franc Switzerland dapat membeli AS$1.11 (atau AS$1 bersamaan dengan 0.9 franc Swiss).

Franc Swiss adalah wang sah rasmi Switzerland dan Liechtenstein dan dilihat sebagai tempat selamat kerana kestabilan politik Switzerland. Franc Swiss diperkenalkan pada 1850 dan kemudiannya ditambat secara ringkas kepada Euro dan kini terapung bebas.

Euro (EUR)

Euro ialah mata wang kelapan terkuat di dunia dengan 1 Euro dapat membeli AS$1.08 (atau AS$1 bersamaan 0.92 euro).

Euro ialah mata wang rasmi zon Euro, iaitu 20 daripada 27 negara yang membentuk sebahagian daripada Kesatuan Eropah. Mata wang fizikal memasuki edaran pada 2002 dan terapung bebas.

Dolar AS (USD)

Dolar AS ialah mata wang ke-10 terkuat di dunia, nilainya tepat 1 berbanding mata wang ini. Semua unit mata wang lain di seluruh dunia bernilai kurang daripada satu dolar AS.

Dicipta pada 1700-an, dolar AS adalah sah di AS, wilayah AS yang lain dan negara berdaulat termasuk Ecuador dan Zimbabwe.

AS ialah ekonomi terbesar dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dolar AS setakat ini mata wang yang paling banyak didagangkan di seluruh dunia.

Dolar AS juga mata wang rizab terbesar di dunia (mata wang yang paling banyak dipegang oleh bank pusat negara-negara lain) dan mata wang digunakan untuk harga banyak komoditi, termasuk minyak, emas dan tembaga.

Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading