Peniaga mengeluh jualan tak serancak dulu, harap minggu akhir Ramadan

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga mengeluh jualan tak serancak dulu, harap minggu akhir Ramadan
Orang ramai membeli-belah ketika tinjauan persiapan Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad

Aidilfitri bakal menjelma beberapa hari saja lagi namun ramai peniaga di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, mengeluh kerana jualan tidak serancak dulu.

Lokasi ini sinonim sebagai tumpuan utama buat mereka yang tinggal di Lembah Klang untuk membeli-belah bagi persiapan menyambut Aidilfitri setiap tahun namun berbeza kali ini, peniaga resah kerana prestasi jualan rendah meskipun sudah hampir sebulan berniaga di kawasan itu.



Pengunjung juga tidak semeriah tahun lalu dan pada sebelah petang keadaan terkawal serta kesesakan biasa di jalan raya utama saja.

Peniaga songkok dan capal, Mardiah Nusmansyah, 29, berkata, tahun ini jualan agak perlahan dan kurang berbanding sebelum ini.

“Banyak faktor antaranya mungkin persiapan anak sekolah dan raya dalam tempoh terdekat menyebabkan ramai yang lebih berhati-hati dalam melakukan pembelian.

“Pengunjung mula ramai sejak semalam tapi ramai yang hanya berjalan tapi tidak membeli namun pada hari ini dilihat sudah ramai yang mula membeli dan saya harap ia berterusan sehingga malam raya,” katanya.



Mardiah juga berharap lebih ramai pengunjung akan datang membeli meskipun terdapat platform jualan atas talian yang memberi kesan terhadap jualan mereka.

Dia berkata, jika membeli di kedai lebih telus kerana boleh melihat barang dan saiz yang tepat selain tiada kerisauan faktor tempoh penghantaran atau kehilangan barang.

Perkara sama dikongsi peniaga baju Melayu dan kurta, Aziz Muhamad, 42, yang sudah lebih 15 tahun berniaga yang mengakui jualan tahun lalu lebih baik.

“Namun seminggu terakhir ini pengunjung dilihat sudah mula ramai dan membeli meskipun pada permulaan agak perlahan.



“Kuasa membeli juga berkurang dan ramai yang sudah beralih ke pembelian secara atas talian dan sehingga ke tempoh ini sasaran jualan saya belum dicapai,” katanya yang mempunyai sebuah kedai di Taman Maluri.

Peniaga biskut raya, Afendi Yunus, 51, berkata, jika dibandingkan dengan tahun lalu, tempoh sebegini jualan sudah meningkat dan semakin baik menjelang malam raya.

“Namun tahun ini ia mendatar dan pengunjung hanya ramai di sebelah malam namun kuasa membeli tidak banyak berbanding tahun lalu, meriah dari pagi hingga ke malam,” katanya.

Dia berkata, faktor ekonomi semasa juga menyumbang kepada kemerosotan jualan dan melihat keadaan petang tadi, dia bimbang jika tidak pulang modal berniaga.



“Saya berharap lebih ramai pengunjung hadir membantu peniaga,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading