‘Berhati-hati boikot elak terjerumus kezaliman’

Oleh – Syeikh Baran


'Berhati-hati boikot elak terjerumus kezaliman'
Gambar Hiasan

BELALANG akui umat Islam di negara ini sangat sensitif dengan perkara berkaitan agama daripada isu penghinaan hingga soal hidup mati saudara seagama bersama Arab Kristian di Gaza, Palestin yang menjadi mangsa serangan genosid rejim Israel.

Justeru, cara paling ampuh tidak melanggar undang-undang atau menggunakan keganasan untuk menunjukkan solidariti dan menghantar mesej tegas kepada sesiapa bersekongkol adalah dengan boikot.



Bagaimanapun, Belalang bersetuju dengan pandangan banyak ilmuwan supaya kita berhati-hati dalam melaksanakan tindakan berbentuk ekonomi itu termasuk terbaru Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh. Inti peringatan mereka adalah ia perlu dilakukan secara bijaksana, berilmu dan beretika termasuk memastikan sasaran diboikot betul-betul terbabit contohnya menyumbang dana kepada kerajaan dan tentera Israel atau sekutu kuatnya.

Apabila boikot dilakukan dengan cara tidak betul, natijahnya umat Islam yang mahu membela agama atau penduduk Gaza rupa-rupanya melakukan kezaliman, malah mendatangkan keburukan kepada kita sendiri. Belalang sedih melihat ada berbangga apabila ada syarikat tempatan selama ini mengeluarkan zakat, membantu dalam bidang pendidikan dan menyumbang kepada ekonomi negara terpaksa mengecilkan operasi perniagaan yang akhirnya menjejaskan kita juga.

Jual produk antiminyak sawit sokong agenda asing

Sebut mengenai boikot, Belalang terkejut ada rakyat Malaysia tidak sedar, buat-buat tidak sedar atau mungkin jahil apabila terbabit dalam kempen Barat memboikot produk kelapa sawit. Hal ini terdedah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Putrajaya kerana disyaki menjual makanan tertera label ‘No Palm Oil’ (NPO) atau ‘Tiada Minyak Sawit’ pada plastik pembungkusannya.



Kerajaan pada tahun lalu sahaja memperuntukkan RM70 juta untuk kempen menangani antiminyak sawit dan entah berapa puluh juta lagi sudah dibelanjakan dalam usaha untuk meningkatkan promosi di dalam negara mahupun di luar negara. Mana-mana peruncit, pemborong dan pengimport produk yang menyokong kempen menjejaskan komoditi tempatan yang menjadi penyumbang ketiga terbesar pendapatan negara memang patut dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana bersekongkol dengan agenda kuasa asing.

Belalang minta kastam bertanggungjawab di pintu masuk negara terutama pelabuhan lebih teliti dalam memastikan tidak ada lagi produk yang menyokong antiminyak sawit dibawa masuk. Pengguna pula mesti peka ketika membaca label di plastik pembungkusan yang bukan hanya melihat kepada kandungan atau tanda halal bagi umat Islam, lalu melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading