Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Dr. Tee Ching Seng

 

 

 



Perbalahan dalaman Pakatan Harapan punca gelombang kedua Covid-19 dalam negara 

MCA kecewa veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa “Langkah Sheraton” sebagai punca gelombang kedua wabak Covid-19 di negara ini, terutamanya dalam tempoh krisis ini. Jika kita melihat balik, ia jelas bahawa perbalahan dalaman Pakatan Harapan adalah punca utama penularan wabak ini bertambah kritikal.

Pada 24 Februari, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan ini menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Kemudian, sebagai PM Interim beliau telah mencadangkan sebuah kerajaan campuran yang terdiri daripada semua parti politik. Namun, sepanjang tempoh ini, Tun Mahathir masih bergoyah dan tidak jelas pendirian, sering bertukar dari mengekalkan dirinya sebagai PM atau memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada masa ini, penularan wabak Covid-19 dalam negara masih dalam tahap awal. Malangnya, pemimpin-pemimpin PH terlalu sibuk bergaduh sesama sendiri sehingga ancaman ini terlepas pandangan mereka. Kegagalan ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara yang tidak dapat dilupakan dengan senang.

“Langkah Sheraton” ini berpunca daripada perbalahan antara parti-parti komponen PH sendiri. Bezanya sekarang adalah pemimpin yang keluar PH kini sebahagian kerajaan baru, manakala pemimpin yang masih bersama PH, termasuk Lim Kit Siang, berada di barisan pembangkang. Namun begitu, Kit Siang nampaknya masih enggan mengakui kesilapan sendiri malah masih cuba mengelak tanggungjawab.



Kami menggesa Kit Siang menjawab, siapakah calon PM untuk PH? Adakah ia Anwar atau Tun Mahathir?  Walaupun Anwar merupakan ketua pembangkang di Parlimen, namun beliau seakan terpinggir apabila parti-parti PH dilihat seakan mahu mengangkat Tun Mahathir semula sebagai PM.

Apabila wabak Covid-19 ini mula dikesan di Wuhan, China pada awal tahun ini, kerajaan PH telah gagal mengambil langkah yang sepatutnya. Mereka gagal bertindak mengatasi masalah kekurangan pakaian perlindungan (PPE) dan peralatan perubatan yang diperlukan. Tiada saringan dibuat ke atas pelancong-pelancong dari negara yang dilanda Covid-19. Tiada larangan dibuat ke atas perhimpunan besar-besaran. Ini semua membuktikan “Langkah Sheraton” bukan punca gelombang kedua wabak Covid-19. Sebaliknya, ia adalah kegagalan kerajaan PH yang melengahkan pelaksanaan langkah-langkah yang sepatutnya diambil awal lagi untuk menghalang dan mecegah penularan wabak ini.

-MCA online-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button