Abang dijel dua tahun, cederakan adik lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Abang dijel dua tahun, cederakan adik lelaki
Gambar Hiasan

Padah mencederakan adik lelakinya menggunakan sebilah pisau pemotong daging selepas bertengkar, seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Ong Kim Chui, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.



Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 15 April lepas.

Mengikut pertuduhan, Kim Chui didakwa mencederakan Ong Boon Choon, 38, dengan pisau di sebuah rumah di Batu Caves pukul 12 tengah hari pada 13 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berdepan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana dia boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen sama.



Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini ialah adik kandungnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai isteri serta seorang anak berusia setahun dua bulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara adik beradik itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kasar tertuduh terhadap bapa mereka.

Tertuduh kemudian telah menolak mangsa dan mengambil pisau pemotong daging lalu mengacukan ke arah muka mangsa.



Bagaimanapun pisau itu terkena bahagian kiri muka mangsa sehingga mangsa cedera yang kemudiannya mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik seterusnya membuat laporan polis.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading